29 Jun 2013

MAS tingkat muatan bagasi kabin mulai 1 Julai

20 Syaaban 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) akan meningkatkan peruntukan muatan bagasi kabin untuk semua penerbangan domestik dan antarabangsa mulai 1 Julai. 

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan negara itu berkata pelanggan Kelas Ekonomi dibenarkan membawa satu bagasi kabin dengan berat maksimum 7kg berbanding 5kg sebelum ini. 
Bagi penumpang Kelas Pertama dan Perniagaan, mereka dibenarkan membawa dua bagasi dengan berat maksimum masing-masing 7kg. 



Had ketinggian setiap bagasi tidak lebih 56sm, panjang 36sm dan lebar 23sm. 

"Garis panduan ini terpakai untuk semua perjalanan udara, dan akan dilaksanakan dengan ketat dalam keseluruhan rangkaian global syarikat penerbangan itu berkuat kuasa 1 Julai," katanya. 

Selain menyeragamkan muatan bagasi kabin, setiap pelanggan boleh membawa masuk sama ada notebook/komputer riba atau beg bimbit atau beg binokular. 

Mereka juga boleh membawa sama ada satu beg tangan kecil atau tongkat. 
Pelanggan yang membawa bayi berumur kurang daripada 24 bulan, boleh membawa satu beg berisi makanan bayi dan lampin seberat 5kg, katil lipat dan kereta sorong bayi boleh lipat. 

Semua bagasi kabin mesti mematuhi undang-undang tempatan dan langkah keselamatan yang terpakai di lapangan terbang, kata Malaysia Airlines, dan menambah kadar bayaran tertentu akan dikenakan ke atas bagasi kabin yang melebihi had muatan yang dibenarkan. - BERNAMA

Tiada ulasan: