Harakahdaily, | 29 Jun 2013 |
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyambut baik langkah yang diambil oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha di negeri itu kerana ia mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding merokok.
CAP sejak beberapa tahun yang lalu telah menggesa pihak berkuasa yang berkenaan agar mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana ia ternyata boleh memudaratkan kesihatan penggunanya.
CAP dalam satu kenyataan akhbar pada 29 Oktober 2012 menggesa pihak berkuasa mengharamkan terus penggunaan shisha yang semakin berleluasa di seluruh negara terutama sekali dalam kalangan anak-anak muda.
“Namun begitu usaha dan gesaan yang dibuat oleh CAP itu tidak mendapat maklum balas daripada yang berkenaan,” ujar Presiden CAP, SM Mohamed Idris dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Selaras dengan tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri Perlis itu, ujarnya CAP menggesa agar Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa yang mengharamkan penggunaan shisha sepertimana juga fatwa yang mengharamkan rokok.
Justeru, kata beliau CAP sekali lagi menyarankan pihak berkuasa berkenaan mengharamkan terus penggunaan shisha dan pihak berkuasa tempatan di seluruh negara ini tidak lagi mengeluarkan lesen perniagaan terhadap premis yang mempunyai kemudahan untuk menghisap shisha.
Mufti Perlis, Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-11/2013 pada 24 Jun lepas membuat keputusan itu.
Dr. Juanda berkata, amalan menghisap shisha bukan sahaja membuang masa tapi memudaratkan kesihatan terutama bagi golongan belia dan remaja.
Beliau berharap MPK dapat menghalang kegiatan penjualan shisha demi kepentingan masyarakat.
Menurutnya, langkah pengharaman itu dilaksanakan kerajaan negeri Melaka sejak 2009 dan Perlis juga menuruti jejak negeri itu kerana kegiatan itu didapati membawa kemudaratan yang besar.
Gejala menghisap shisha yang semakin menular dalam kalangan remaja masa kini dan kewujudan premis serta kedai yang menyediakan kemudahan menghisap shisha perlu diberi perhatian serius dengan segera oleh pihak berkuasa kesihatan dan majlis perbandaran.
“Langkah ini perlu diambil dengan segera oleh semua negeri yang masih belum mengeluarkan fakwa mengharamkan shisha memandangkan menghisap shisha ini dikatakan sama bahayanya dengan menghisap rokok,” ujar SM Idris lagi.
Katanya, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), amalan menghisap hookah atau shisha mempunyai risiko kesihatan yang sama seperti merokok atau menggunakan produk tembakau lain.
Penghisap shisha, ujar beliau biasanya menyedut asap sebanyak 50 hingga 200 kali atau selama 20 minit hingga 80 minit yang dianggarkan sebanyak 0.15 liter hingga satu liter.
Menurutnya, mereka yang menghisap rokok selalunya menyedut sebanyak lapan hingga 12 kali dan mengambil masa hanya lima hingga tujuh minit serta menyedut 0.5 liter hingga 0.6 liter asap.
“Mengenai bahaya menghisap shisha ini, dikatakan penghisap shisha turut boleh mengalami ketagihan seperti penghisap rokok biasa, kerana penggunaan tembakau sebagai bahan utama sememangnya membahayakan kesihatan,” katanya.
Jelasnya, penggunaan arang dalam peralatan untuk menghisap shisha boleh meningkatkan masalah paru-paru berikutan arang yang digunakan boleh mendap dalam saluran pernafasan si penghisap.
Katanya, air didihan yang digunakan juga tidak dapat menapis toksin yang ada, memandangkan shisha turut mengandungi nikotin dan karbon dioksida yang terdapat dalam rokok biasa, penggunaan berterusan hanya akan memudaratkan kesihatan dalam jangka masa penjang.
Tambah beliau, tindakan tegas perlu diambil segera memandangkan penggunaan shisha boleh memudaratkan kesihatan demi untuk menjaga kesejahteraan generasi kita yang akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan