22 July 2013

300 penduduk jadi mangsa dendam politik Umno BN

13 Ramadhan 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily/

Abdullah (kanan) bersama Zaki dan Mohd Asri menunjukkan geran besar di lot baru di Padang Luas.

BESUT: Lebih 300 penduduk di Kampung Padang Luas dan Padang Landak hanya mampu berputih mata, selepas rumah yang dibina di atas tanah diberi lesen menduduki sementara (TOL) menjadi mangsa dendam politik Umno.

Seramai 65 penduduk di Kampung Padang Luas dan 250 penduduk di Padang Landak, Dun Jertih mengharap tanah yang diluluskan kerajaan negeri semasa di bawah pentadbiran PAS  pada 1999 menjadi tempat anak cucu berteduh.

Tanah tersebut dilulus Pejabat Tanah Besut selepas diajukan permohonan pada 1999, ketika itu PAS mentadbir Terengganu, di mana pada asalnya merupakan padang ragut seluas lebih tiga ekar. 

Bekas pengerusi Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR), Abdullah Mohamed berkata, tanah tersebut dimohon rakyat memandangkan mereka belum memiliki sebarang tanah bagi membina rumah.

Katanya, penduduk melalui Adun Jertih, Tun Salleh Abbas mengajukan permohonan kepada Pejabat Tanah Besut. 

“JSR memilih mana-mana penduduk yang layak terutamanya mereka yang tidak memiliki tanah dalam kalangan penduduk tempatan yang miskin,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, selepas mendapat kelulusan kakitangan Pejabat Tanah Besut datang menyukat lot dan menanam batu sempadan di setiap lot.  

Kemudian pengundian dilakukan bagi menentukan lot yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Besut.

Kata beliau selepas penduduk mendapat lot ada kalangan mereka mulai membina rumah mengikut kadar kemampuan masing-masing.

Biar pun belum mendapat tol secara  hitam putih penduduk membina asas-asas rumah atau pagar bagi mengelakkan tanah itu kembali dirampas kerajaan kerana tidak mendirikan sebarang binaan dalam tempoh tiga tahun.  

Di penempatan baru itu sebuah rumah telah siap dibina penduduk manakala sebahagian lagi dalam proses pembinaan struktur asas rumah.

Abdullah berkata, biar pun borang permohonan sudah lama diajukan kepada Pejabat Tanah Besut dan kerajaan hanya mengeluarkan kelulusan tol pada 2004.

Kata beliau permohonan hanya diproses Pejabat Tanah Besut selepas didesak kerajaan negeri dan wakil rakyat bekali-kali bagi membolehkan penduduk mendapat lesen menduduki sementara.

Manakala di Padang Landak pula kawasan seluas 70 ekar dipecah kepada 250 lot untuk diagih kepada penduduk yang layak.

Seorang penduduk, Mohd Asri Ismail, 49, beliau telah mendirikan rumah di situ sehingga 20 peratus siap, membabitkan kos lebih RM5,000.

“Saya tidak mampu untuk menyiapkan pembinaan rumah itu dapat tempoh singkat kerana tiada wang. Saya kumpul sedikit demi sedikit bagi membina struktur asas dahulu,”  ujarnya. 

Seorang lagi penduduk, Zaki Samad, 65, juga menyiapkan kira-kira 20 peratus rumahnya di atas lot baru di Padang Landak. 

Selain itu ramai juga penyokong Umno dan 10 penduduk bukan Islam juga mendapat lot rumah di Padang Landak. 

“Malangnya ketika penduduk di situ mahu menyambung tol bagi tahun kedua pada 2005, kerajaan negeri melalui satu surat menyatakan mesyuarat kerajaan negeri pada 23 November 2005 telah membatalkan tol tanah tersebut,” katanya.

Pembatalan tol sementara dibuat selepas Barisan Nasional (BN) berkuasa semula di Terengganu, kemungkinan ada kaitan dengan balas dendam politik.

Abdullah berkata, tidak lama selepas kerajaan BN kembali berkuasa, rumah-rumah dan binaan asas yang dibuat penduduk di Padang Luas dan Padang Landak disodok menggunakan jentera berat.

Beliau dimaklumkan kerja-kerja menyodok rumah terbabit dibuat atas arahan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.

Di tapak rumah yang dimiliki rakyat tersebut sekarang telah dibangunkan projek perumahan yang ada kaitan dengan pemimpin Umno.

Tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan BN, penduduk membawa kes berkenaan ke mahkamah, dan sehingga sekarang kes itu di peringkat rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan.


Projek perumahan dibina di Padang Luas dahulu tanah milik rakyat.

No comments: