13 Ramadhan 1434 H. [MOD] -
Aspan Alias, |
Ramai yang meminta saya memberikan komen tentang perhimpunan agung UMNO Oktober ini yang kini sudah sampai ke fasa kempen mengempen yang kuat diantara pemain politik UMNO hari ini. Tahun ini adalah tahun pemilihan parti dan tentulah ia mendapat tumpuan istimewa dari orang ramai.
Tumpuan ini di sebabkan ia berkait dengan UMNO. Pertamanya UMNO itu adalah parti pemerintah dan tidak hairan ia menjadi tumpuan ramai. Tumpuan terhadap parti itu lebih kuat lagi kerana parti itu telah menjadi isu besar kepada rakyat dan negara. Lagi pula UMNO baru sahaja selesai bersama dengan parti-parti lain melaksanakan tuntutan perlembagaan persekutuan untuk mengadakan pilihanraya setiap lima tahun.
Keputusannya sudah diketahui umum. UMNO mendapat kelebihan sedikit kerusi dari PRU ke-12 tetapi jika dihitung dari kemenangan yang diperolehi oleh ahli-ahli parti dalam BN, ‘coalition’ itu telah kekurangan sebanyak tujuh kerusi berbanding dengan PRU ke-12 dahulu.
Mahu tidak mahu kita terpaksa akui yang UMNO masih menjadi pilihan rakyat khususnya orang-orang Melayu. Orang Melayu yang keluar menyokong kempen pilihanraya yang begitu ramai sebelum PRU ke-13 itu diadakan, kembali berduyun-duyun memberikan sokongan kepada UMNO kerana orang di atas pagar terutamanya orang Melayu merasa kehilangan keyakinan yang kekal terhadap Pakatan Rakyat di saat-saat akhir.
Sebab kenapa mereka berkurangan keyakinan kerana ada parti dalam Pakatan Rakyat hanya dikuasai oleh kaum Cina sahaja. Maka perjuangan kita untuk mencapai matlamat perpaduan kaum yang hampir terjadi akhirnya tidak tercapai juga. ‘It crashed before taking off’. Jika dihitung-hitung dalam keadaan dan situasi sekarang ramai yang yakin UMNO akan tetap menang dalam pilihanraya yang akan datang walaupun dengan majoriti yang lebih kecil dari PRU 2008 dan 2013.
Jika dikira dari kemenangan parti secara individu UMNO merupakan parti yang akan menang lagi dalam PRU yang akan datang. Jika sekarang UMNO memenangi 89 kerusi, jika parti itu melalui pilihanraya sekali lagi UMNO mungkin memenangi 70 kerusi pula. Dari segi itu UMNO tetap akan memenangi jumlah kerusi yang terbesar.
DAP tidak mungkin memenangi 70 kerusi dan lagi pun hampir kesemua kerusi yang dimenangi oleh DAP sudah pun mereka menangi. Jika pada keseluruhannya BN kalah tetapi sebagai sebuah parti secara individunya UMNO akan tetap diminta menubuhkan kerajaan. Hanya apabila UMNO gagal menubuhkan kerajaan melalui rundingan-rundingan dengan parti-parti lain untuk menubuhkan kerajaan campuran, barulah Pakatan Rakyat dengan gabungannya mungkin mampu untuk menubuhkan kerajaan alternatif.
Itu sebabnya UMNO menjadi perhatian ramai terutamanya apabila pemilihan parti sampai. UMNO sudah hilang keyakinan ramai walaupun parti itu mungkin dapat bertahan dengan keadaan yang lebih lemah lagi pada masa yang akan datang.
Yang mendapat perhatian khusus ialah tentang pemilihan dua kerusi tertinggi parti itu. Ada pihak yang mahukan kedua-dua jawatan itu tidak dipertandingkan dan ada yang mahu jawatan itu dipertandingkan. Tidak payah kita bersusah payah memberikan pandangan sama ada jawatan-jawatan itu patut dipertandingkan kerana samada ia ditandingi atau tidak ia tidak akan memberikan apa-apa faedah tambahan kepada parti itu.
Pertandingan selalunya dilakukan untuk mencari siapa yang paling layak untuk memimpin. Najib telah gagal dengan jelas maka ada suara-suara meminta Muhyiddin mengambil alih kedudukan Najib dengan beliau menandingi Najib dalam pemilihan ini. Tetapi apa kelebihan Muhyiddin dari Najib dan apakah nilai tambahan yang Muhyiddin boleh sumbangkan kepada parti?
Blog ini tidak lekang dari memberikan pandangan yang jika Najib diambil alih oleh mereka yang ada dalam Majlis Teringgi parti itu ia tidak akan membawa apa-apa perubahan. Muhyiddin atau mana-mana di antara Naib Presiden parti itu datangnya dari acuan yang sama. Nilainya sama, sikapnya sama dan imejnya sama. Jika kita hendak bukti yang Muhyiddin pun tidak akan dapat menyumbang kepada perubahan bolehlah UMNO menggantikan Najib dengan Muhyiddin.
Dalam tempoh yang sekejap sahaja akan terbukti keadaan akan sama sahaja kerana mereka adalah sama. Itu bukan perubahan namanya. Mereka dari resepi yang sama. Ibaratnya seperti kuih bahulu. Kuih bahulu itu rasanya sama sahaja walaupun ia berbeza bentuknya. Kalau dibuat kueh bahulu dengan bentuk ikan pula kali ini ia akan tetap sama rasanya dengan yang berbentuk buah manggis misalnya. Ia tetap bahulu. Rasanya tetap rasa bahulu.
Dari membazir masa berkelahi dan berpuak biarkan sahaja Najib terus menjadi pemimpinnya. ‘Consequence’ nya akan sama juga sama ada Najib atau Muhyiddin yang memerintah dan mengetuai kerajaan. UMNO akan terhempas juga akhirnya.
UMNO itu juga ibarat kereta tua yang selalu rosak dan terkandas. Kereta yang belum terlalu teruk kerosakannya boleh ditukar alat-alat ganti di bengkel. Tetapi jika hampir kesemua komponen dalam enjin kereta itu terpaksa diganti dengan ‘spare-parts’ nya maka lebih baik kereta itu dilakukan 'overhaul' samasekali. Atau ditukar kereta itu terus dengan kereta yang baru. Kalau sayang kepada ‘brand’ kereta itu, ditukar sahaja kereta dengan jenama yang sama yang baru.
Pendeknya jika dalam Perhimpunan Agung UMNO pemilihan dibuat di antara mereka dalam Majlis Tertinggi sekarang sebagai seorang yang memandang dari luar ini, elok dilupakan sahaja niat untuk menandingi jawatan tertinggi parti itu.
Kalau sekadar untuk bertanding semata-mata untuk bertanding sahaja bolehlah bertanding. Kalau bertanding pun elok juga kepada setengah penggiat parti itu. Setidak-tidaknya perwakilan mungkin dapat “BRIM” pemilihan UMNO.
Dapat juga mereka menukar kereta atau setidak-tidaknya dapat juga menukar ‘sport-rim’ kereta mereka. Perwakilan semasa pemilihan tinggi nilainya.
Setakat seramai 146,000 perwakilan sekarang pimpinan yang kaya raya masih boleh dan masih berupaya untuk ‘kawtim’ di sana sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan