25 Julai 2013

Mesej bahaya dari ucapan terbaru Al-Sisi

16 Ramadhan 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily/-

Saya melihat ucapan terbaru dari Menteri Pertahanan Abdul Fatah As-Sisi amat bahaya bagi masa depan negara dan demokrasi di negara Mesir.

Sisi dalam ucapannya meraikan graduan Fakulti Tentera Laut dan Udara bagi wilayah Kaherah hari ini berkata secara jelas:
"Saya meminta rakyat Mesir yang bebas dan mulia untuk turun ke jalanraya-jalanraya Jumaat ini bagi memberikan kepada saya (askar) satu kuasa dan arahan untuk menamatkan keganasan yang berlaku."

Apa yang anda faham dari petikan ucapan Sisi ini. Saya ringkaskan kepada beberapa noktah penting:

1) Kumpulan penentang Mursi terpaksa menggunakan As-Sisi sebagai pemberi arahan untuk kumpulan mereka turun selepas beberapa siri majlis berbuka puasa anjuran Tamarrud yang diadakan di Tahrir tidak mendapat sambutan sama seperti hari 30 Jun bagi menjatuhkan Mursi. Mereka terpaksa mengerahkan tenaga anggota polis yang berpakaian biasa untuk turun berbuka puasa di Tahrir. Itupun jumlah mereka sekitar 1,000 hingga 2,000 orang. Kemungkinan mereka tidak memiliki daya juang dan jihad yang tinggi tambahan berada dalam bulan Ramadhan seperti pejuang-pejuang di Raba'ah yang sanggup berdiri dan berpanas terik.

2) Arahan Sisi ini menunjukkan secara jelas siapa yang memerintah Mesir hari ini. Bukan Adli Mansour sebagai Presiden sementara tetapi As-Sisi. Mansour hanya boneka Sisi.

3) Ucapan Sisi ini membayangkan kebimbangannya kepada himpunan raksasa yang lebih besar kerana Ikhwan Muslimin dan gabungan Kerjasama Kebangsaan mengumumkan Jumaat ini bersamaan 17 Ramadhan adalah "Jumaat Furqan" bertepatan sambutan memperingati Nuzul Al-Quran. Mengimbau beberapa Jumaat sebelum ini telah menyaksikan hampir 10 juta rakyat keluar menolak rampasan kuasa kerana kebetulan Jumaat merupakan cuti minggu.

4) Apa yang paling bahaya petikan ucapannya ialah "...bagi memberikan kuasa kepada saya"..Maksudnya jika Tahrir mampu menghimpunkan angka jutaan Jumaat ini maka ia akan memberi isyarat sokongan kepada tentera untuk meleraikan himpunan di Raba'ah dan Nahdhah yang memasuki minggu ketiga walaupun terpaksa dibunuh dan diceroboh mereka yang berada di Raba'ah maka ia bakal menyaksikan lebih banyak korban. Himpunan di Tahrir kelak sebagai "lesen besar" bagi Sisi bertindak lebih kasar kepada rakyat di Raba'ah. Matlamat utama tentera kini hanya mahu meleraikan himpunan di Raba'ah dan Nahdhah kerana imej Sisi jatuh di mata dunia waktu ini dengan kewujudan rakyat di dua lokasi ini. Taktik menggunakan polis dan militia samseng sebelum ini juga gagal meleraikan himpunan ini.

5) Istilah "pengganas" akan terus digunakan oleh penyokong rampasan kuasa bagi memberikan sokongan padu apa jua tindakan tentera selepas ini. Jika dibunuh mereka yang berhimpun maka ia "bukan satu kesalahan" kerana tentera bertindak memerangi pengganas. Apa jua tindakan yang mungkin mengejutkan kita dan dunia selepas ini maka tentera akan bertindak demi atas nama "memerangi pengganas" sedangkan "pengganas" itu tidak dilabelkan kepada kumpulan asing yang lain melainkan sebahagian rakyat Mesir dari kumpulan-kumpulan Islam termasuk Ikhwan Muslimin.

Tiada ulasan: