25 Ogos 2013

Guru Mexico lancar demonstrasi

18 Syawal 1434 H. [MOD] -

MEXICO CITY 24 Ogos - Beribu-ribu guru Mexico melancarkan demonstrasi dengan menghalang laluan utama ke lapangan terbang antarabangsa Mexico City, semalam dalam usaha mereka menggagalkan pembaharuan pendidikan di negara ini.

Mereka malah berikrar untuk merampas terminal itu.

Polis dikerah untuk menghalang perarakan tersebut.


Keadaan itu menyebabkan orang ramai yang menuju ke lapangan terbang terpaksa berjalan kaki separuh jalan untuk menaiki penerbangan, masing-masing sambil diperhatikan guru-guru terbabit yang sebahagiannya hanya duduk sambil membaca akhbar dan sebahagian lagi bermain silang kata.


Situasi yang berlaku hampir seminggu itu membuatkan penduduk Mexico City meluahkan kemarahan mereka terhadap pihak berkuasa tempatan yang dilihat membenarkan guru-guru menghalang jalan raya sesuka hati mereka.

Beratus-ratus guru itu pada Rabu lalu bertempur dengan polis di bangunan Kongres sebelum menyekat beberapa laluan di sekitar bangunan itu, sekali gus memaksa anggota Parlimen mengadakan mesyuarat di tempat lain bagi mengundi rang undang-undang pembaharuan pendidikan yang telah diluluskan di dewan rendah.

Rang undang-undang itu memperkenalkan penilaian guru dan mengurangkan kuasa kesatuan yang terdedah kepada rasuah dalam pengambilan guru-guru yang kebanyakannya merupakan saudara mara mereka.
Menurut guru-guru, rang undang-undang itu terlalu bergantung kepada ujian tanpa mengambil kira penilaian ibu bapa dan murid. - AGENSI



Tiada ulasan: