25 Ramadhan 1434 H. [MOD] -
SIBU: Jabatan Agama Islam Sarawak menangkap 82 individu beragama Islam yang didapati makan, minum dan merokok dalam khalayak pada waktu siang setakat 24 hari Ramadan.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Daud Abdul Rahman yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam, berkata jumlah itu adalah peningkatan berbanding 62 orang sepanjang Ramadan tahun lepas.
Katanya, semua yang ditangkap akan didakwa mengikut Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah selepas Aidilfitri ini dan jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum denda sehingga RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya.
Ditanya mengenai kemungkinan warga asing terbabit tidak mengetahui undang-undang di negara ini, Daud berkata kerajaan sentiasa memberi penerangan dan publisiti terutama menerusi media massa.
"Saya rasa mereka tahu, ini bukan tahun pertama kita buat (operasi menangkap individu Islam makan, minum dan menghisap rokok dalam khalayak ramai). Mereka perlu ikut undang-undang," katanya.
Menurut Daud ada dalam kalangan warga asing terbabit beranggapan mereka terkecuali daripada undang-undang negara ini.
Mengulas perkembangan lain, Daud berkata setakat ini belum ada pengusaha yang dihadapkan ke mahkamah kerana menyalahgunakan logo halal, namun ada yang dalam pemerhatian kementerian berkenaan.
"Mereka dalam pemerhatian kerana kesalahan mereka tidak begitu serius," katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan