03 August 2013

Suri Ryana, Ustaz Azhar Idrus dinobat Pemenang Anugerah Pilihan Pembaca Popular BH

25 Ramadhan 1434 H. [MOD] -


Kuala Lumpur: Novelis, Suri Ryana dan pendakwah popular, Azhar Idrus diumumkan sebagai pemenang Anugerah Pilihan Pembaca Popular-BH 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, sebentar tadi. 

Suri Ryana memenangi Kategori Fiksyen melalui novelnya, Isteri Separuh Masa, manakala Azhar mengungguli Kategori Bukan Fiksyen melalui buku Anda Bertanya Ustaz Azhar Idrus Menjawab Berkenaan Permasalahan Umat. 

Masing-masing menerima hadiah wang tunai bernilai RM3,000 dan sijil penyertaan. Tempat kedua Kategori Fiksyen dimenangi Zura Asyfar melalui novelnya, Sebenarnya Saya Isteri Dia yang membawa pulang hadiah bernilai RM1,500 dan tempat ketiga oleh Acik Lana (Maaf Jika Aku Tak Sempurna) dengan hadiah RM1,000. 


Kategori Bukan Fiksyen pula menyaksikan pemenang kedua ialah Tun Dr Mahathir Mohamad melalui bukunya, Doktor Umum: Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala pemenang ketiga ialah Kazim Elias (Tuhan Sedang Menguji Kita). 

Hadiah disampaikan Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Anwar Ridhwan pada majlis yang turut dihadiri Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengarah Popular Holdings Berhad. 

Anugerah Pilihan Pembaca Popular-BH diadakan sempena Pameran Buku Bookfest@Malaysia di KLCC yang bermula hari ini hingga 13 Ogos ini. BH/-

No comments: