03 Ogos 2013

4 lagi mangsa bot karam ditemui selamat

25 Ramadhan 1434 H. [MOD] -


Empat lagi penumpang bot pancung yang karam malam tadi di antara perairan Sedeli dan Penawar berhampiran Tanjung Siang, Kota Tinggi, berjaya diselamatkan setakat tengah malam tadi.
    
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Mohd Nor Rashid berkata empat mangsa itu ditemui oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), menjadikan jumlah mangsa yang ditemui selamat seramai lapan orang.

Sebelum ini, empat mangsa berjaya ditemui oleh nelayan tempatan dan APMM pada kirakira pukul 4 petang tadi dan malam ini empat lagi mangsa yang terselamat ditemui, katanya ketika dihubungi.
    
Bagaimanapun katanya operasi mencari dan menyelamat yang disertai oleh APMM, Jabatan Laut dan pasukan Polis Marin telah dihentikan dan akan bersambung pukul 8 pagi ini.
    
Pada masa sama, katanya, beliau telah mengarahkan semua balai polis berhampiran dengan pantai supaya menugaskan anggota untuk memantau pantai berhampiran kawasan mereka.
    
Dalam kejadian yang berlaku lewat malam semalam, sebuah bot pancung yang dipercayai membawa seramai 40 pendatang tanpa izin warga Indonesia ke Batam untuk menyambut Aidilfitri karam setelah dipukul ombak besar.
    
Mereka sebelum itu dipercayai telah berlepas dari Tanjung Siang lewat petang semalam.
    
Kejadian dipercayai berlaku ketika cuaca ribut dan tragedi malang itu hanya disedari kira-kira 4 petang tadi apabila sekumpulan nelayan menemui tiga mangsa berpaut pada tong plastik.
    
Seorang lagi ditemui oleh bot peronda APMM yang melakukan rondaan rutin di kawasan itu.
    
- Bernama

Tiada ulasan: