10 August 2013

Aidilfitri di seluruh dunia disambut meriah

3 Syawal 1434 H. [MOD] -

penduduk Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di runtuhan Masjid Feroz Shah Kotla berusia lebih 600 tahun di New Delhi, kelmarin. - Reuters

JAKARTA 9 Ogos - Aidilfitri tahun ini disambut meriah oleh umat Islam di seluruh dunia, walaupun pergolakan berlaku di beberapa negara Islam, terutama di negara-negara Arab.



Di Jakarta, ibu negara Indonesia yang merupakan negara yang mempunyai penduduk Islam terbesar di dunia, beribu-ribu umat Islam menyambut Aidilfitri, semalam walaupun dalam ketakutan selepas berlaku serangan bom di sebuah kuil pada Ahad lalu.

Dalam serangan tersebut, seorang cedera apabila sebutir bom meletup di kuil Ekayana ketika beratus-ratus penganut Buddha berdoa untuk kesejahteraan penduduk etnik Islam Rohingya di Myanmar.

Keadaan itu mendorong pihak berkuasa Indonesia meningkatkan kawalan keselamatan dengan mengerahkan lebih 140,000 anggota polis untuk berkawal di ibu negara ini.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono ditemani isterinya, Ani Yudhoyono menghadiri solat sunat Aidilfitri di Masjid Istiqlal, di sini semalam.

Sementara itu di Riyadh, Arab Saudi, Aidilfitri disambut meriah dengan sambutan diadakan selama tiga hari berturut-turut dengan 200 pelbagai majlis diadakan di 35 lokasi di bandar raya itu.

Datuk Bandar Riyadh, Abdullah Bin Abdulrahman Al-Muqbil mengucapkan ribuan terima kasih kepada Putera Khalis Bin Bandar kerana mengetuai majlis tersebut.

Turut diadakan pertunjukan bunga api besar-besaran dengan lebih 10,000 jenis bunga api di tujuh lokasi, 
termasuk di Stadium King Fahd, bermula pada pukul 11.50 malam dan berterusan sehingga lewat pagi.

Kemeriahan Aidilfitri turut dirasai di Bosnia.

Mufti Besar Bosnia, Husein Kavazovic ketika menyampaikan khutbah solat sunat Aidilfitri di masjid Podgorica mengutuk keganasan yang berlaku di Asia Barat.

Beliau melahirkan kesedihan terhadap penderitaan yang dialami oleh penduduk Islam di dunia Arab yang terjebak dengan konflik.

"Sangat memalukan, umat Islam berbunuhan sesama sendiri di Mesir dan Syria. Ini merupakan jenayah dan kami sangat mengutuk keganasan yang berlaku. Penderitaan saudara-saudara kita di negara-negara ini perlu dihentikan," ujarnya.

Sementara itu, di Kosovo umat Islam mengerjakan solat sunat Aidilfitri di Masjid Fatih Sultan Mehmet di Pristina.

Di Croatia, solat sunat Aidilfitri diadakan di Zagreb dan Pusat Islam yang baru di Rijeka.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan isteri Michelle dalam satu perutusan semalam mengucapkan salam Aidilfitri kepada umat Islam di seluruh dunia.

Dalam kenyataan Pejabat Setiausaha Akhbar White House, Obama berkata, sejak bebarapa bulan lalu, umat Islam telah memuliakan agama mereka dengan berdoa, beribadah serta berpuasa, selain menghabiskan masa dengan orang tersayang.

"Michelle dan saya mengucapkan salam (Aidilfitri) kepada umat Islam yang menyambut Aidilfitri di AS dan di seluruh dunia.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada masyarakat Islam di negara itu sambil menyifatkan perayaan ini sebagai acara untuk bergembira selepas sebulan mereka berpuasa dan melakukan amalan baik.

"Saya sentiasa menggemari kecantikan baju kurung keluarga Melayu termasuk menikmati kuih Hari Raya seperti dodol dan kuih bangkit. Saya harap kamu menikmati perayaan ini bersama keluarga, rakan-rakan dan jiran-jiran daripada semua bangsa dan agama," katanya dalam laman Facebook beliau. - AFP/BERNAMA AGENSI

No comments: