22 September 2013

BlackBerry Z30 di pasaran minggu depan

15 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
BlackBerry Z30 di pasaran minggu depan
BlackBerry Ltd melancarkan telefon pintar premium terbaru Z30.
Toronto: BlackBerry Ltd melancarkan telefon pintar premium terbaru Z30, yang dilihat usaha berterusan daripada pelopor pengeluaran telefon pintar itu untuk kembali menguasai pasaran walaupun masa depannya sebagai syarikat awam kelihatan suram.
Malah, bulan lalu BlackBerry mengumumkan sedang mempertimbangkan kemungkinan masa depan syarikat itu, termasuk dijual keseluruhannya, semuanya disebabkan sambutan dingin pengguna terhadap peranti telefon pintar baru keluarannya yang kini menggunakan sistem operasi BlackBerry 10. 

Z30, peranti yang memang dinanti-nanti pasaran, akan menjadi peranti premium terbaru daripada BlackBerry menggantikan Z10 yang lebih kecil dan dilancarkan pada awal tahun ini. 

Peranti terbaru itu ditampilkan dengan skrin sesentuh lima inci, digerakkan pemproses 1.7 gigahertz, akan bersaing dengan model baru Apple Inc, iaitu iPhone 5S dan Galaxy S4 daripada Samsung Electronics Co serta pelbagai peranti lain dikuasakan platform Android Google. 

Sistem operasi baru 

Bagaimanapun, walaupun peranti terkini BlackBerry menggunakan sistem operasi baru, sambutan terhadap peranti baru keluarannya masih tidak begitu menggalakkan. 

Walaupun BlackBerry sudah lama menyasar menjadikan BlackBerry 10 sebagai sistem operasi ketiga terbesar di pasaran, kaji selidik terkini menunjukkan platform Windows paling berkemungkinan menduduki tempat itu kerana semakin mendapat perhatian pasaran. 
Antara perkara yang dilihat penganalisis sebagai antara faktor menyebabkan produk BlackBerry kurang mendapat sambutan pengguna walaupun sistem dan peranti keluarannya mendapat ulasan baik penganalisis, ialah kurangnya kegiatan pengiklanan dan pemasaran berikutan kurang peruntukan. 

Telefon pintar terpantas 

Selain itu, penganalisis juga berpendapat langkah Microsoft mengambil alih perniagaan telefon mudah alih Nokia awal bulan ini pada AS$7.3 bilion, akan menyukarkan lagi laluan BlackBerry kerana dananya terhad berbanding gergasi internet Amerika itu. 

Syarikat berpangkalan di Waterloo, Ontario itu yang menyifatkan Z30 sebagai telefon pintar terpantas dan termaju keluarannya hingga kini, mengumumkan peranti terbaru itu akan mula berada di pasaran United Kingdom dan Asia Barat minggu depan. 

Z30 akan mula dijual syarikat telekomunikasi lain di seluruh dunia secara berperingkat sepanjang tahun ini. - REUTERS

No comments: