BERA: Kerajaan akan menguatkuasakan penggunaan pukat tunda yang lubang jaringnya melebihi 38 milimeter (mm) mulai 1 November ini bagi menyelamatkan benih ikan laut daripada pupus.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penguatkuasaan itu mengikut Akta Perikanan 1985 dalam usaha memulihara sumber marin di perairan negara ini.
"Kita akan mengambil tindakan mulai 1 November ini dengan menjalankan operasi oleh Jabatan Perikanan," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Raya dan Ramah Mesra anjuran Jabatan Pertanian di sini, hari ini.
Beliau berkata, beberapa buah negara lain menguatkuasakan penggunaan pukat tunda dengan saiz lubang jaring lebih besar iaitu Brunei 55mm, Myanmar dan Bangladesh masing-masing 60mm.
"Tujuannya bukan untuk menyekat rezeki para nelayan tetapi bagi memastikan ikan ataupun sumber marin terus berkekalan dan secara langsung dapat memastikan pendapatan nelayan pantai tidak terjejas," katanya.
Beliau berkata, pukat saiz lama yang lebih kecil lubang jaringnya itu menyebabkan banyak ikan kecil terperangkap di dalam pukat tunda terbabit dan hasil tangkapan itu pula dijadikan baja.
Katanya, terdapat 6,116 bot pukat tunda daripada kelas B, C dan C2 di seluruh negara dan di Pahang saja terdapat 429 pengusaha bot yang menggunakan pukat tunda.
"Bagi lesen kelas B, mereka dibenarkan menangkap ikan dalam lingkungan 5 hingga 12 batu dari pantai, kelas C sekitar 12 hingga 30 batu dan C2 sekitar 30 batu sehingga Zon Ekonomi Eksklusif," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, Jabatan Perikanan membatalkan 26 lesen bot nelayan tempatan selepas didapati disewakan kepada nelayan warga Vietnam.
Beliau berkata, pihak kementerian mendapat bantahan daripada beberapa pengusaha bot nelayan yang meminta kerajaan mengambil tindakan terhadap nelayan warga Vietnam yang didakwa berleluasa di Pantai Timur.
"Saya ingin perjelaskan dakwaan kononnya nelayan Vietnam yang dikatakan menjadi pengusaha bot nelayan di negara ini adalah tidak benar, mereka adalah awak-awak kepada pengusaha bot tempatan bagi mengisi kekosongan awak-awak tempatan," katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan