01 September 2013

Parti politik dan NGO lulus resolusi kutuk krisis Mesir, desak sidang khas Parlimen

25 Syawal 1434 H. [MOD] -

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik Pakatan Rakyat (PR) hari ini meluluskan resolusi mengutuk rampasan kuasa di Mesir selepas selesai Sidang Meja Bulat Isu Rampasan Kuasa Mesir yang diadakan di ibu kota hari ini.

Dalam resolusi yang dibacakan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menggesa pemerintah tentera supaya mengembalikan kuasa dan hak kepada rakyat Mesir.
"Kami pertubuhan politik dan ngo Malaysia yang menyertai sidang meja bulat mengenai Mesir pada 1 September 2013 mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai dan penindasan politik di Mesir.
“Kami sebulat suara menolak rampasan kuasa pihak tentera, kebebasan politik di Mesir dan perlantikkan kepimpinan pemerintah yang tidak sah kerana ia bertentangan dengan lunas demokrasi dan kehendak rakyat Mesir," kata beliau semasa membacakan resolusi tersebut.
Mohamad juga berkata usaha untuk memberi tekanan kepada pemerintah tentera Mesir akan diteruskan tanpa henti, serta menggesa supaya pihak antarabangsa mengambil tindakan terhadap pihak tentera yang merampas kuasa.
"Dengan kesegaran dan hak asasi manusia adalah impian rakyat Mesir tanpa mengira bangsa, masyarakat sejagat semua seluruh dunia bersolidariti dengan perjuangan demokrasi di Mesir.
"Kami berikrar untuk berusaha dengan segala upaya bagi menamatkan pemerintahan tentera dan kembalikan kuasa kepada presiden Morsi yang dipilih secara sah," kata Mohamad semasa membaca resolusi itu lagi.
Dalam sidang sama, cadangan oleh Presiden Ikram Malaysia Syed Ibrahim Syed Noh mendesak supaya satu sidang khas Parlimen juga dimasukkan dalam resolusi tersebut.
"Kami juga yang telah berbincang pada sidang hari ini, menyeru Parlimen Malaysia meluluskan satu resolusi seperti yang dibentangkan oleh saudara Syed Ibrahim tadi.
"Kami mendesak Parlimen Malaysia mengadakan satu sidang khas untuk mengutuk keras kekejaman di Mesir," kata Mohamad lagi.
Turut kelihatan dalam sidang meja bulat tersebut beberapa wakil daripada NGO seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), wakil DAP Zairil Khir Johari dan wakil daripada PKR, Tian Chua serta Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Sementara itu, wakil Freedom and Justice Party (FJP), Ahmed Fahmy, juga turut hadir pada sidang meja bulat hari ini.
Pengasas Jawatankuasa Hal Ehwal Luar FJP tersebut menggesa masyarakat antarabangsa supaya bersama menyatakan sokongan kepada perjuangan rakyat Mesir yang dinafikan hak demokrasi mereka, disamping membidas beberapa negara arab lain yang bersekongkol dengan rampasan kuasa.
"Hak asas fundamental rakyat Mesir telah dinafikan, rampasan kuasa yang tidak demokratik ini perlu ditentang.
"Rampasan ini didalangi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, yang mahu melihat Mesir berpecah serta didalangi oleh anasir luar seperti Israel dan juga negara arab seperti Arab Saudi," katanya lagi.
Bulan lalu, Presiden Mesir, Dr Mohamed Morsi digulingkan dalam satu rampasan kuasa oleh pihak tentera.
Sehingga kini pertempuran antara penyokong Morsi dari gerakan Ikhwanul Muslimin dan pemerintah tentera masih belum berhenti walaupun sudah mengorbankan banyak nyawa.
PAS juga telah menghantar memorandum bagi menyeru Kabinet membuat ketetapan bahawa kerajaan Malaysia mengadakan Sidang Dewan Rakyat tergempar mengutuk insiden di Mesir.

Tiada ulasan: