23 September 2013

Kaji kenapa rakyat tidak takut undang-undang

16 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Kerajaan harus mengkaji faktor-faktor yang menyebabkan pasukan polis dan undang-undang di Malaysia tidak digeruni masyarakat.

Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kehebatan undang-undang dan polis merupakan faktor penting yang membantu sesebuah negara itu mengatasi masalah jenayah.


"Yang penting bukan sahaja undang-undang dan polis tapi kehebatan undang-undang dan kehebatan polis. 

"Sangat malang sampai ke peringkat Ketua Polis Negara diugut, Ketua Polis Negeri diugut, ini dan menunjukkan perlunya satu tindakan mendidik masyarakat supaya polis dipandang hebat dan undang-undang digeruni. 

"Pada zaman Islam perkasa dahulu jarang-jarang dijatuhkan hukuman kerana undang-undangnya menggerunkan dan ini perlu dikaji. Di United Kingdom sebagai contoh polis-polisnya banyak tak bawa pistol, bawa kayu sahaja tapi digeruni. Kenapa jadi begitu? Ini perlu kita kaji," kata beliau ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan status jenayah, khususnya kes tembakan, mengapa bilangan polis yang terlibat dalam siasatan jenayah tidak ditambah kepada 50 peratus anggota PDRM supaya dapat serta-merta membendung jenayah dan bilakah kekurangan anggota polis dapat diatasi seperti di Pulau Pinang yang mempunyai 5,700 anggota polis tetapi masih kurang 600 orang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam jawapannya memberitahu, kerajaan akan menubuhkan sebuah badan penyiasatan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memantau salah anggota polis. 

Badan itu tidak akan melibatkan pegawai-pegawai PDRM tetapi akan dianggotai oleh golongan profesional termasuk peguam.

"Kabinet telah memutuskan sebuah badan penyiasatan dalaman PDRM sedang dilakukan bukan melibatkan pegawai-pegawai PDRM tetapi ahli-ahli profesional dari luar termasuk para peguam untuk menganggotai badan ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh.

Guan Eng juga meminta supaya proses yang diambil PDRM harus dirombak dan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan supaya hanya anggota polis yang profesional dikekalkan dan bukan mereka yang terlibat dengan salah laku dan penyalahgunaan kuasa.

Zahid bagaimanapun berkata, IPCMC bukanlah jawapan muktamad kerana kerajaan mempunyai beberapa langkah lain untuk membaik pulih imej PDRM.

Harakahdaily

Tiada ulasan: