23 September 2013

Anggota polis maut bergelut suspek curi besi

16 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
MELAKA 23 Sept. - Seorang anggota polis maut dalam pergelutan dengan seorang suspek yang cuba mencuri besi buruk dalam Ops Lejang di Taman Teknologi Cheng di sini.

Dalam pergelutan itu, Kopral Zal-Azri Abdul Somad, 31, dari Bahagian Risikan Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka cedera di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, Zal-Azri menyertai operasi itu bersama seorang pegawai dan tiga anggota lain dari bahagian itu untuk menangkap sekumpulan lelaki yang disyaki cuba mencuri besi buruk di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Cheng awal.

Pada mulanya polis berjaya menahan tiga lelaki masing-masing berusia 17, 22 dan 23 tahun dan kira-kira pukul 8.30 pagi, bagaimanapun salah seorang daripada suspek itu cuba melarikan diri.

"Zal-Azri cuba menahan suspek berusia 17 tahun itu dan ketika itu berlaku pergelutan yang menyebabkan anggota kami cedera di kepala," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Raja Shahrom berkata, ketika pergelutan suspek dapat meloloskan diri, tetapi akhirnya dapat ditahan di Krubong kira-kira dua jam kemudian.

Beliau berkata, serbuan itu dilakukan apaila polis mendapat maklumat tentang sebuah lori curi yang digunakan untuk kegiatan mencuri besi buruk berada di kawasan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

"Zal-Azri telah berkhidmat selama 15 tahun sebagai anggota polis dan baharu dua bulan ditukarkan ke bahagian itu berdasarkan perkhidmatan cemerlangnya sebelum ini di Alor Gajah," katanya.
Zal-Azri yang berasal dari Pulau Pinang meninggalkan seorang balu dan dua anak. 

- BERNAMA



Tiada ulasan: