23 September 2013

Jangan terpengaruh mazhab rumit - Presiden PAS

16 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Malaysia diingatkan agar tidak terpengaruh dengan mazhab-mazhab rumit dari Asia Barat yang disebarkan melalui media untuk melaga-lagakan masyarakat Islam.

Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, terdapat segelintir golongan yang 'bebal' membawa masuk mazhab yang tidak ada di Malaysia bagi mencetuskan masalah dalam masyarakat majmuk di negara ini.

"Kita juga jangan menerima tempias mazhab yang rumit yang ada di Asia Barat yang sudah lama macam-macam mazhab timbul.

"Apa yang berlaku di Asia Barat iaitu kuasa besar dunia timur dan barat yang berebut minyak, berebut mempertahankan Terusan Suez dan menggunakan mazhab melalui media untuk melagakan keamanaan masyarakat Islam dan saya harap tempias ini jangan dibawa ke negara kita.

"Negara kita tak ada mazhab itu tapi dibawa juga oleh mereka yang bebal bagi mencetuskan masalah dalam masyarakat Islam dan mencetuskan masalah dalam masyarakat majmuk," kata beliau ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Presiden PAS itu juga berkata, Malaysia selama ini bersifat terbuka dan menangani perbezaan mazhab dalam kalangan masyarakat.

"Perbezaan mazhab ini sudah wujud dalam masyarakat Islam sejak seribu tahun dan tidak menjadi masalah dan kita melihat bagaimana kebijaksanaan pendakwah yang datang ke sini bermazhab Syafie boleh menangani masyarakat majmuk Hindu, Buddha yang tak ada dalam mazhab Syafie hidup dalam harmoni.

"Kita lihat perbezaan antara beberapa jabatan agama negeri contohnya Perlis yang kuat pada Salafi dan ada negeri yang sangat kuat Syafie dan keterbukaan sudah wujud.

"Kita mengambil mana-mana yang kita anggap kuat dan lebih baik bedasarkan pada realiti masyarakat dan cabaran ketika ini. Saya harap Malaysia pun terbuka dalam masalah ini dan dapat tingkatkan lagi," katanya.

Beliau dalam soalan asalnya meminta Perdana Menteri menyatakan tindakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mendidik masyarakat berhubung dengan kepelbagaian mazhab dalam Islam seperti Salafiyah, Asha`irah, Maturidiyah, Wahabiyah dan lain-lain, ke arah memelihara keharmonian masyarakat Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam jawapannya berkata, Jakim meraikan kepelbagaian pendekatan yang wujud dalam ahli Sunnah Wal Jamaah dan perbezaan aliran diuruskan secara baik memalui program dialog dan perbahasan akademik.

"Namun keutamaan diberi kepada aliran yang menjadi tradisi dan majoriti di negara ini iaitu pegangan Asha`irah dalam mazhab Syafie dalam fekah manakala aliran lain yang masih ada dalam lingkungan sunnah dibenarkan selagi mana tak bersifat melampau sehingga menimbulkan isu bidaah membidaah," katanya yang juga Ahli Parlimen Jerai.

Menurut beliu juga, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri telah memperuntukkan bahawa mazhab yang diamalkan dalam aspek syariah ialah mazhab Syafie manakala dari segi akidah berlandaskan ahli Sunnah Wal Jamaah.

Selain itu, Majlis Mesyuarat Raja-raja kali ke-13 pada 3 Disember 1984 memutuskan mazhab yang diamalkan di negara ini ialah Syafie dan Sunnah Wal Jamaah oleh itu penyebaran fahaman mazhab lain hendaklah dikawal dan aktiviti mereka dibenarkan kepada pengamalan bukan penyebaran.

Harakahdaily

No comments: