07 September 2013

Minyak naik: BR1M bukan penyelamat

1 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -

Naik harga minyak bukan pendekatan terbik pembaharuan fiskal. Pada bulan Februari tahun ini, Perdana Menteri Najib Razak menyatakan bahawa harga RON95 akan dikekalkan walaupun harga minyak dunia meningkat.

Pada bulan April, Ismail Sabri Yaakob, bekas menteri Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyatakan bahawa “Petrol merupakan bahan asas yang utama dan jika kerajaan menaikkan harga minyak, ia akan mengakibatkan para peniaga menaikkan harga barangan dan membebankan rakyat.”


Pada bulan yang sama, Najib meyakinkan rakyat Malaysia bahawa subsidi akan diteruskan di bawah pentadbiran beliau di mana beliau akan memastikan kos kehidupan terkawal. Pada bulan Mei, Barisan Nasional menang dalam pilihanraya umum, namun janji yang dibuat sebelum ini telah dimungkiri.

Institut Rakyat berpendirian keputusan Barisan Nasional menaikkan harga minyak merupakan pendekatan “bertindak dahulu, menangani masalah kemudian” yang akan menimbulkan beberapa masalah:

1. BR1M bukan penyelamat golongan miskin

Jika niat membantu golongan yang berpendapatan RM3000 ke bawah adalah ikhlas, kenapa meletakkan hidup mereka dalam kesusahan akibat kenaikan harga minyak dan barang dalam tempoh sebelum Bantuan Rakyat 1Malaysia(BR1M) dilaksanakan?

Berdasarkan pelaksanaan yang lepas, kebiasaannya kerajaan akan mengambil masa sebulan ke tiga bulan sebelum BR1M diberikan, maka bagaimana golongan miskin hendak mengatasi beban hidup dalam tempoh ini?

Malahan, pemberian BR1M adalah berbentuk ad hoc manakala penggunaan petrol merupakan perbelanjaan harian bagi setiap rakyat. BR1M bukan satu penyelesaian bagi mereka yang mengalami kenaikan kos hidup ekoran kenaikan harga minyak. Tambahan pula, ramai rakyat juga telah banyak berbelanja sepanjang musim Hari Raya.

Jika kita mengandaikan bahawa pemberian tunai secara ad hoc adalah berkesan bagi golongan fakir miskin, maka pendekatan yang sederhana seharusnya mengurangkan subsidi minyak selepas pemberian tunai diadakan. Namun begitu, kaedah ini juga akan meninggalkan kesan di mana hidup golongan miskin akan terus tertekan sehingga pemberian tunai yang baru disalurkan.

Pada bulan Julai, Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan mengakui bahawa “Penambahan bantuan tunai dari RM500 kepada RM1200 akan dapat bantu mengurangkan beban hidup isi rumah golongan miskin selama dua bulan. Maka bagi 10 bulan yang seterusnya, seseorang itu perlu mencari jalan sendiri."

Kebergantungan ke atas pemberian tunai tidak akan mengurangkan perbelanjaan subsidi kerajaan. Najib membelanjakan RM2.9 bilion dana awam untuk BR1M 2.0, maka dengan penambahan BR1M jumlah akan meningkat kepada RM6.96 bilion. Penambahan RM4 bilion dalam BR1M ini sudah pasti melebihi RM1.1 bilion yang dijimatkan oleh kerajaan melalui pemotongan subsidi.

Sesungguhnya, hasil daripada keputusan BN ini akan meningkatkan inflasi dan perbelanjaan subsidi kerajaan.

2. Golongan kelas menengah turut merasai impak inflasi

BN sedia maklum tentang perlunya wujud dasar untuk mengurangkan impak inflasi ke atas golongan kelas menengah. Golongan ini telah mengalami pendapatan yang tetap sepanjang satu dekad. Harga rumah dan makanan telah meningkat sejak beberapa tahun yang lepas, malah dengan peningkatan 10% dalam harga minyak pasti akan menambah beban mereka. Meskipun kerajaan telah memberi amaran kepada para peniaga agar tidak menaikkan harga melebihi 1%, kos inflasi tetap akan dirasai oleh para pengguna.

3. Sejauhmanakah pengurangan subsidi semestinya mengurangkan belanjawan defisit?

Pembaziran dan korupsi harus dihapuskan terlebih dahulu dan dasar meningkatkan pendapatan harus dilaksanakan sebelum subsidi ke atas barang asas dikurangkan.

Belanjawan defisit yang wujud dalam beberapa tahun yang lalu merupakan akibat perbelanjaan tidak terbatas Najib untuk tujuan pilihanraya. Perbelanjaan BR1M dan pengiklanan di bawah Jabatan Perdana Menteri mencecah 21% daripada belanjawan defisit 2013 iaitu RM14.9 bilion. Sekarang Najib telahpun menang dalam pilihanraya, mengapakah perbelanjaan ini masih dikekalkan?

Penganalisa yang berpendirian bahawa kerajaan perlu memperbaiki sistem percukaian sebenarnya mengelak daripada isu sejauhmanakah kerajaan membelanjakan pendapatan cukai secara berhemah dan bertanggungjawab. Hakikatnya, defisit dan hutang yang kita alami hari ini sebenarnya digunakan untuk menanggung korupsi kerajaan.

Maka Institut Rakyat mencadangkan pendekatan yang lebih sesuai adalah dengan memperbetulkan prinsip dan kesinambungan pembaharuan fiskal:

1. Taraf hidup rakyat seharusnya menjadi keutamaan;

2. Perbelanjaan dana awam harus kos efektif dan berlandaskan pembangunan;

3. Memberi sebelum mengambil. Subsidi tersasar seharusnya dilaksanakan sebelum subsidi umum dihapuskan.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pandai sungguh najib.smua orang dah tak bercakap lg hal sirul dan azilah selepas ia hangat d perkatakansebelum itu.nampaknya semua orang dah mulupakannya selepas harga minyak d naikan.memang benar kata kata melayu mudah lupa.melayu mulayu memang senang d perbodohksn hatta oleh orang bodoh sekalipun.