08 September 2013

SPM: Wajib lulus BI, pelajar luar bandar jadi mangsa

2 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) tidak setuju Bahasa Inggeris (BI) dijadikan subjek wajib lulus untuk mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia bukan pendekatan yang boleh menjamin pelajar dapat menguasai BI.


“Kami berpendapat syarat BI lulus akan menyebabkan ramai pelajar yang akan terkandas dalam SPM dan dengan itu menyebabkan masa depan mereka terjejas.

“Kami dengan itu juga mendapati pihak Kementerian Pendidikan yang memutuskan untuk mewajibkan lulus BI dalam SPM pada 2016 tidak menjelaskan kenapa penguasaan BI masih lemah dari segi teknik pengajaran dan pembelajaran,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau mempersoalkan apakan kajian yang telah dilaksanakan untuk merasionalkan keputusan tersebut. 

Justeru, ujarnya, pihak kementerian perlu membuktikan perkaitan mensyaratkan lulus BI untuk mendapat sijil SPM dengan keupayaan pelajar untuk menguasai BI.

Menurutnya, penguasaan BI sepatutnya boleh dilakukan secara berterusan dan tidak perlu ia menjadi faktor yang menghadkan seseorang pelajar mendapat sijil SPM dan dengan itu merumitkannya untuk melanjutkan pelajaran dan mencari pekerjaan.

Katanya, harus diingatkan pelajar di sekolah luar bandar akan menjadi mangsa kepada dasar yang baru ini jika ia tidak diteliti dengan halusi. 

Beliau berkata, suasana masyarakat di luar bandar bukan persekitaran pelajar yang kondusif untuk mengguna BI.

“Adalah lebih bijak semakan dilakukan ke atas teknik pengajaran dan pembelajaran serta kualiti guru yang mengajar BI daripada mensyaratkan BI mesti lulus untuk mendapat sijil SPM,” ujarnya lagi.

Menurutnya, dalam jangka panjang adalah sangat penting dipertimbangkan mereka yang tidak lulus dan gagal mendapat sijil SPM mungkin akan menghasilkan ramai pelajar yang tercicir dari arus perdana.

“Kami berpendapat syarat lulus BI akan menjadi beban kepada pelajar kerana fokus yang seharusnya diberi perhatian iaitu menguasai ilmu dalam bahasa ibunda perlu diutamakan. 

“Lulus BI tidak boleh dijadi merit untuk menggagalkan seseorang pelajar dalam SPM,” katanya.


Harakahdaily

No comments: