02 November 2013

Dua ditahan bantu siasatan kes samun kedai emas

28 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dua lelaki ditahan dalam serbuan di Shah Alam dan Sentul bagi membantu siasatan kes samun kedai emas membabitkan seorang pengawal keselamatan di pusat beli-belah KL Festival City, Setapak, di sini. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata mereka ditahan dalam serbuan di rumah masing-masing di dua lokasi itu. 


Beliau berkata dalam serbuan pertama, seorang lelaki berusia 26 tahun dipercayai rakan suspek, ditahan pada 9 malam, Khamis lalu. 

Susulan itu, polis malam tadi memberkas seorang lagi lelaki berusia 51 tahun dipercayai penyelia kepada pengawal keselamatan itu. 


"Kami percaya penahanan dua lelaki ini dapat membantu pihak polis mengesan suspek utama," katanya kepada Bernama sambil memberitahu kedua-dua lelaki itu direman selama seminggu mulai hari ini. 

Dalam kejadian itu, pengawal keselamatan berkenaan dilapor melarikan kira-kira 100 utas rantai selepas mengacukan senjata api ke arah empat pekerja kedai emas itu. - BERNAMA

No comments: