02 November 2013

'Broker' kereta lelong didakwa

28 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Seremban: Seorang wanita dikenakan ikat jamin RM66,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas didakwa atas 22 pertuduhan berasingan menipu tiga individu kononnya dia boleh mendapatkan barangan dan kenderaan lelongan dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Pada prosiding di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak, tertuduh, Salina Abdullah, 47, yang juga pekerja bahagian keceriaan hotel, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu dan memohon dibicarakan. 

Salina yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan semua kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu di beberapa tempat termasuk di Bank Simpanan Nasional, Public Bank dan CIMB Bank di Lukut dan Port Dickson, Gemencheh serta Gemas di Tampin pada masa berbeza antara 23 Jun 2012 hingga 22 Ogos 2013. 

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan. Bagi kes pertama Salina didakwa atas lima pertuduhan menipu Shamsul Kamal Saad, 44, untuk mempercayai dia boleh mendapatkan kenderaan lelongan JKDM dengan harga murah hingga mendorong mangsa menyerahkan wang dalam jumlah berbeza secara tunai dan melalui akaun bank sebanyak RM2,000.

Kesalahan dilakukan antara 23 Jun 2012 kira-kira jam 2.10 petang hingga 6 Julai 2012, kira-kira jam 3.20 petang. Bagi kes kedua dia didakwa atas 12 tuduhan memperdaya Zulkifli Mohamad Naim, 45, berkaitan perkara sama, menyebabkan mangsa menyerahkan wang secara berperingkat berjumlah RM7,630 antara 20 Jun 2013 kira-kira jam 2.40 petang hingga 22 Ogos 2013, jam 12.06 tengah hari.

Seterusnya, Salina didakwa menipu Eliz Ermiza Azli,30, bahawa dia mampu mendapatkan barangan elektrik lelongan daripada kastam dengan harga murah membabitkan lima pertuduhan menyebabkan mangsa menyerahkan RM1,800 secara berperingkat antara 15 Mac 2013, kira-kira jam 11.30 pagi hingga 24 Mac 2013, jam 12.24 tengah hari. 


Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Syamimi Farhana Muhammad A Aziz menawarkan jaminan RM6,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, namun mahkamah mengurangkan kepada RM3,000 selepas mendengar rayuan tertuduh. 


Kes ini ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Disember depan di Mahkamah Majistret Port Dickson.



Metro/-

No comments: