03 November 2013

PAS dijangka kekal, majoriti lebih kecil – Ilham Centre


29 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

Harakahdaily,02 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Asas sokongan pengundi Sungai Limau kepada PAS kekal dalam peratusan antara 53-55 peratus manakala diikuti rapat oleh Umno BN sekitar 45-47 peratus. 

“Selisih peratus ini dilihat tiada perubahan besar berlaku kepada pengundi dalam pilihan raya kecil N20 Sungai Limau,” ujar Pengerusi Eksekutif Ilham Centre, Muhamad Hisommudin Bakar dalam satu kenyataan. 

Menurutnya, sepanjang kajian itu dijalankan faktor identifikasi parti yang terlalu menebal di kalangan pengundi menyumbang kepada pengekalan undi PAS di Dun Sungai Limau.

Dalam pilihan raya kecil ini, ujarnya jelas pertembungan langsung antara PAS dan Umno, bukan Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat. 

Berikut ialah kenyataan penuh.

Selepas menghampiri saat-saat akhir tempoh berkempen, asas sokongan pengundi kepada PAS kekal dalam peratusan antara 53-55 peratus manakala diikuti rapat oleh Umno BN sekitar 45-47 peratus. Selisih peratus ini dilihat tiada perubahan besar berlaku kepada pengundi dalam pilihan raya kecil N20 Sungai Limau. 

Sepanjang kajian ini dijalankan faktor identifikasi parti yang terlalu menebal di kalangan pengundi menyumbang kepada pengekalan undi PAS di sini. 

Dalam pilihan raya kecil ini, jelas pertembungan langsung antara PAS dan Umno, bukan Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat. 

Ilham Centre membuat kajian lapangan bermula 28 Oktober dan berakhir pada 1 November 2013 dan berjaya menemubual secara tatap muka dengan 602 responden di kesemua 19 daerah mengundi dalam N20 Sungai Limau. 

Kajian ini memfokuskan untuk menilai pendapat di kalangan pengundi berdaftar bagi membekalkan dapatan yang komprehensif, mempunyai hubungkait serta mewakili pandangan populasi di DUN Sungai Limau ini. Kajian ini sebagai rujukan bagaimana dan kenapa pengundi berdaftar mereka menentukan sikap dalam pilihan raya kecil Dun Sungai Limau 2013. 

Identifikasi parti dan pengaruh pondok

Berdasarkan dapatan kajian, pengundi N20 Sungai Limau cukup tegar dan setia di atas faktor identifikasi parti mengatasi faktor-faktor lain. Faktor ini menyumbang 81 peratus diambil kira oleh pengundi berbanding faktor calon 12 peratus dan faktor isu hanya 4 peratus sahaja.  

Sumbangan pengaruh dua buah pondok iaitu Pondok Bukit Besar dan Pondok Pak Ya Junid yang mana merupakan antara tokoh pengasas PAS Kedah berjaya mengasaskan tapak sokongan masyarakat kepada PAS yang kuat. 

Dapatan kajian membuktikan bahawa pengundi yang tinggal di daerah mengundi sekitar pondok-pondok tersebut merupakan kubu kuat kepada PAS seperti daerah mengundi Bukit Besar, Bukit Choras, Gelam Tiga, Batu 16, Permataang Buloh dan Sungai Dedap. Kawasan ini sukar dtembusi oleh UMNO untuk menafikan majoriti besar yang diperolehi PAS dalam DUN ini. 

Manakala daerah mengundi yang jauh dari jangkauan pengaruh pondok seperti Dulang Kechil, Dulang Besar, Sungai Kering dan Sungai Daun kelihatan pengaruh UMNO lebih menyerlah berbanding PAS. 

Terdapat daerah mengundi yang sentiasa berubah pola sokongan dan menjadi rebutan silih ganti di antara PAS dan juga UMNO seperti daerah mengundi Sedaka, Ulu Sedaka, Simpang Tiga, Kabu Sepuloh dan Sungai Limau.

Pola sokongan PAS di daerah mengundi Padang Lumat pada tradisinya adalah kubu kuat PAS berlaku perubahan ketara ekoran berlaku krisis dalaman PAS kawasan. 

Antara keunikan kawasan ini ialah peratusan pengundi atas pagar (fence sitter) amat kecil sekitar 11 peratus sahaja berbanding di kawasan-kawasan lain yang kebiasaannya mencecah 30 peratus. 

Umno underdog tetapi agresif 

Dapatan kajian menunjukkan UMNO/BN yang turun berkempen dalam situasi underdog kelihatan cukup agresif menggunakan segenap instrumen dan kekuatan jentera. 

Manakala PAS pula menggunakan menggunakan strategi bertahan kerana yakin dengan kesetiaan pengundi untuk kekal dengan PAS. 

Penilaian pola sokongan pengundi tidak berlaku anjakan ketara berdasarkan tiada pengumuman lompat parti bagi kedua-dua pihak. Senario ini mengukuhkan bahawa pengundi Melayu selesa dengan mengekalkan status quo pilihan parti mereka. 

Merujuk kepada soalan ILHAM Centre kepada pengundi berkaitan dengan pengekalan status sokongan pilihan parti sama seperti pilihan raya umum ke-13 yang lepas, 85 peratus mengakui akan mengekalkan sokongan mereka. 

Menyedari hakikat itu, jentera UMNO kelihatan begitu agresif menerusi kempen pemimpin-pemimpin parti, sayap Wanita, dan Puteri berusaha memecahkan pola sokongan pengundi di kubu kuat PAS. 

Ini dibuktikan apabila UMNO berjaya menganjurkan program rasmi kerajaan di kedua-dua pondok yang menjadi teras sokongan PAS selama ini. Pemecahan tradisi ini ialah merupakan kejayaan besar kepada jentera UMNO dan fenomena baru kali ini. 

Faktor Azizan dan Mukhriz 

ILHAM Centre mengukur indikator tinggalan pengaruh Tan Sri Ustaz Azizan Razak memang ketara dan kukuh. 68 peratus responden menyifatkan Azizan mempunyai sumbangan dan pengaruh yang besar di sini. Beliau disifatkan sebagai pemimpin yang sangat prihatin dan merakyat tanpa mengenal perbezaan parti. Antara jasa besar yang diakui oleh pengundi ialah Azizan berjaya meredakan pertembungan keras yang menjadi tradisi UMNO-PAS di kawasan ini. 

Ini menyebabkan kedua-dua jentera pilihan raya menggunakan faktor Azizan dalam kempen mereka. Paling mengejutkan UMNO menganjurkan majis tahlil rasmi dan mencetak kain rentang menyedekahkan al-Fatihah sebagai elemen menarik simpati pengundi yang memberi undi di atas faktor Azizan. 

Selain itu ILHAM juga mengukur pengaruh Datuk Paduka Mukhriz Mahathir dalam pilihan raya ini. Merujuk kepada tahap kepuasan hati pengundi kepada kerajaan negeri Kedah di bawah pimpinan beliau menunjukkan pengaruh berada tahap 38 peratus. 

Pengundi mengukur dan menilai pengaruh Mukhriz berdasarkan kesungguhan beliau turun padang menemui pengundi sepanjang tempoh kempen berlangsung. 

Faktor calon, Azam mendahului Dr Sohaimi 

Walaupun faktor calon hanya 12 peratus dinilai oleh pengundi, namun ini tetap signifikan dalam pilihan raya kecil ini. Jika dibandingkan calon PAS dan calon UMNO/BN, ternyata calon PAS mempunyai kelebihan yang ketara. 

Kekuatan calon PAS, Ustaz Mohd Azam Abdul Samad lebih dikenali oleh pengundi sebelum pilihan raya kecil lagi sebanyak 50 peratus berbanding calon UMNO/BN, Dr Sohaimi Lazim sebanyak 36 peratus sahaja. Dr Sohaimi hanya dikenali selepas pengumuman calon BN dilakukan. 

Kelebihan Azam pada kaca mata pengundi ialah dipilih berdasarkan latar belakang pengajian agama (43 peratus), berasal daripada parti yang sama dengan pengundi (38 peratus) dan berasal daripada keluarga ulama Pondok Bukit Besar (17 peratus) menyumbang sokongan kepada calon ini. 

Dr Sohaimi pula kekuatanya terletak kepada sokongan asas penyokong BN (33 peratus) disebabkan beliau calon yang berada di luar senarai perkiraan pengundi sebelum ini. Selain itu beliau juga dilihat oleh pengundi mempunyai kelebihan kelulusan tinggi (16 peratus). 

Isu-isu nasional dan lokal memberi kesan minima 

Sepanjang pengamatan berdasarkan data kuantitatif, pengundi di Sungai Limau menyifatkan isu-isu nasional mahupun setempat tidak memberikan kesan besar penilaian kepada mereka untuk mengubah pola pengundian. 

Isu-isu yang dimainkan oleh pihak media perdana elektronik mahupun bercetak bersumberkan kenyataan-kenyataan pemimpin kedua-dua parti dilihat gagal mempengaruhi mereka. Sebagai contoh isu dakwaan TPM mengaitkan kematian Azizan yang mengidap diabetes dengan kenaikkan harga gula tidak mengurangkan sokongan kepada kepada calon UMNO (28 peratus) manakala isu superimpose calon PAS bersama Azizan juga tidak menjejaskan sokongan kepada calon PAS (19 peratus).  

Namun pengundi di sini sedikit terkesan dengan perkara yang dekat dan terbeban kepada mereka. Ini dibuktikan dengan dapatan kajian yang menunjukkan mereka terkesan dengan kenaikan harga minyak (73 peratus) dan harga keperluan barangan (56 peratus).  

Walaupun demikian faktor ini tidak mampu mempengaruhi pengundi untuk mengubah pendirian mereka kerana faktor pilihan pengundi berdasarkan parti mengatasi faktor-faktor lain. 

Rebutan di daerah mengundi marginal 

Kempen kelihatan berlaku persaingan sengit di antara jentera PAS dan UMNO di enam daerah mengundi marginal iaitu Sedaka, Kabu Sepuloh, Padang Lumat, Simpang Tiga, Sungai Daun dan Selengkoh. Daerah mengundi marginal ini merujuk kepada keputusan pilihan raya lepas yang mana memperlihatkan kedua-dua parti memperolehi undi majoriti tipis. 

Kajian ini mengenal pasti kedua-dua jentera rancak menumpukan usaha untuk meraih undi di lokaliti-lokaliti ini. Kempen menerusi kaedah konvensional digunakan pada tahap maksimum oleh jentara UMNO dan PAS. 

ILHAM mengajukan soalan untuk mengukur jenis kempen yang efektif kepada pengundi di kawasan ini dan memperlihatkan kaedah ziarah rumah ke rumah dianggap kaedah paling berkesan kepada mereka. 

Kempen ziarah rumah ke rumah oleh jentera UMNO disaingi rapat oleh PAS dengan peratusan 80 peratus (UMNO) berbanding 74 peratus (PAS). 

UMNO jelas ke hadapan dalam segmen keadah kempen menggunakan media massa terutamanya televisyen (84 peratus), radio (49 peratus) dan akhbar harian (74 peratus). 

PAS pula hanya bergantung kepada kaedah tradisi mereka iaitu ceramah umum (38 peratus), ceramah kelompok (34 peratus) dan pengedaran risalah calon (39 peratus). 

Walaupun begitu, keadaan pengundi kelihatan menerima baik kedua-dua belah jentera namun perubahan sokongan tidak ketara. 

PAS dijangka bertahan dengan majoriti lebih rendah 

Prediksi ILHAM Centre berdasarkan respons pengundi terhadap undi yang akan diberi kalah menang antara kedua-dua parti ini, PAS mendahului dengan peratusan sebanyak 48 peratus dan BN berada di aras 42 peratus dan bakinya adalah sebanyak 10 peratus yang masih belum membuat keputusan. 

Peratusan undi ini diukur kepada pengundi yang berada di dalam kawasan pilihan raya tanpa melibatkan sekitar 7 peratus pengundi yang berada di luar kawasan. 

Pengundi Cina ketika kajian ini dilakukan kelihatan berhati-hati dalam membuat keputusan kali ini. Undi Cina disifatkan mendekati model pilihan rasional (rational choice model) yang mengambil kira aspek untung rugi, faedah serta impak kepada komuniti mereka. Semua pertimbangan ini mengambil kira survival ekonomi masyarakat ini dalam membuat keputusan politik kali ini. 

Kelebihan PAS ialah mempunyai undi asas penyokong tegar dan setia parti di dalam kawasan yang tinggi ditambah dengan kelebihan peratus pengundi yang berada di luar kawasan dilihat condong kepada PAS atau atas kepentingan Pakatan Rakyat.

BN kelihatan optimis untuk menang dalam pilihan raya kecil ini berasaskan beberapa elemen yang kelihatan memberi peluang untuk menang. Antaranya ialah asas sokongan penyokong tegar dan setia parti kekal, serangan jentera yang berjaya membuat penetrasi di kubu kuat PAS dan di daerah mengundi marginal serta komposisi pengundi muda yang tinggi yang dianggap condong menyokong mereka.

Latar belakang kajian 

ILHAM Centre menggunakan stratified random sample dalam survei ini: 

Kekuatan pendekatan ini adalah kebolehupayaan untuk meluaskan perbandingan sampel dengan maklumat demografi yang absah di samping mengekalkan pemilihan sample secara rawak. Perwakilan stratifikasi ini ditetapkan mengikut; 

a) Daerah Mengundi 
b) Umur 
c) Parti 
d) Gender 

Persampelan yang direka bentuk ini bertujuan untuk mendapatkan perwakilan menyeluruh daripada pengundi berdaftar yang berada di dalam buku daftar pemilih di DUN N20 Sungai Limau. 

Metode persampelan ini merangkumi; 

a) 602 sampel pengundi berdaftar dengan menggunakan kaedah temubual tatap muka dengan salah seorang pengundi berumur 21 tahun ke atas yang menepati stratifikasi yang telah ditetapkan bagi sesuatu peti undi. 

b) Senarai daftar pemilih menerusi buku yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membekalkan alamat yang lengkap dan angka responden yang tepat di dalam kawasan persampelan. 

c) Setiap sesi temubual yang tidak berjaya akan digantikan dengan responden lain di dalam lokaliti yang sama.

No comments: