03 November 2013

Patung kaki: Perbuatan tidak berakhlak


29 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

YAN - Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan perbuatan menggantung patung kaki yang diletakkan berhampiran beberapa pusat gerak kerja BN Dun Sungai Limau sebagai perbuatan yang tidak wajar dan berakhlak.

Beliau menegaskan, perbuatan penuh provokasi itu bukan sahaja tidak wajar bahkan ia hanya akan mengguris lagi perasaan keluarga Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

"Saya tidak tahu pihak mana yang bertanggungjawab, tapi satu perbuatan tidak berakhlak, tidak beretika dan tidak beradab.

"Perbuatan itu merupakan akan terus mengguris hati keluarga seperti mana ucapan timbalan perdana menteri sebelum ini yang mengguris hati orang yang telah bersama Allahyarham Tan Sri Azizan selama lima penggal," katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui di Markas Induk Pas Sg. Limau, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut perbuatan menggantung patung kaki yang menyerupai bekas wakil rakyat kawasan itu berhampiran khemah BN di tiga kawasan tengah hari ini.

Perbuatan tidak bermoral itu juga mendapat perhatian serius daripada Ketua Umno Bahagian Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom apabila satu laporan polis telah dibuat pada siang tadi.

"Saya berasa amat kesal dengan perbuatan provokasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Ini satu perkara yang tidak wajar berlaku," katanya.

Menurut sumber BN, patung-patung kaki itu digantung berhampiran khemah BN di Bukit Besar, Titi Batu dan Simpang Tiga, Sungai Limau dekat sini.
Dalam pada itu, Mahfuz menambah, Pas menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dalang di sebalik perkara itu, bagi menjaga nama baik parti itu daripada perbuatan sabotaj dari pihak lawan.

Sinar/-

No comments: