03 November 2013

Warga Myanmar ditikam, dicampak ke laut


29 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

Seorang lelaki warga Myanmar cedera parah di bahagian perut akibat ditikam sebelum dicampak ke laut di Jeti Tan, Pengkalan Weld di Georgetown malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Ismail Idris berkata dalam kejadian 11 malam itu, mangsa yang berusia 30an diselamatkan orang awam setelah dilihat terkapai-kapai dan cuba berenang ke daratan ketika air laut sedang pasang.


"Kita percaya mangsa ditikam beberapa kali menggunakan senjata tajam dan lelaki itu kini ditempatkan di Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut," katanya kepada pemberita di Georgetown hari ini.

Beliau berkata motif serangan masih dalam siasatan dan hasil siasatan awal mendapati dua individu tidak dikenali bergegas meninggalkan lokasi kejadian dalam keadaan mencurigakan sebelum insiden itu berlaku.

Ismail berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana  mendatangkan kecederaan menggunakan senjata yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun atau denda atau sebat atau ketiga-tiganya sekali, jika sabit kesalahan.

Bernama

No comments: