18 November 2013

Haram ikut paluan gendang musuh – Presiden PAS

14 Muharram 1435H. [MOD] -
PETALING JAYA: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan haram bagi ahli PAS  mengikut permainan media luar kononnya berlaku pertembungan  antara golongan ulama dengan profesional dalam PAS.

Katanya, dakwaan kononnya wujud pertembungan antara  golongan ulama dan profesional dalam PAS adalah permainan media musuh dan tidak seharusnya mempengaruhi ahli PAS. 

"Ini mainan media, gendang yang dipalu oleh mereka tidak seharusnya diikuti. Haram bagi kita menari mengikut gendang itu," katanya ketika menutup perasmian Ijtimak PAS Selangor di Dewan Sivik, dekat sini, semalam. 

Beliau menegaskan tanggung jawab semua ahli dan pimpinan PAS mesti menyatukan semua pendokong parti dan bukan memecahbelahkan mereka. 

Katanya, PAS kini bukan sahaja berjaya menarik sokongan golongan muda malah telah berjaya memecahkan paradigma kalangan orang bukan Islam yang menjadi sebahagian masyarakat majmuk untuk memberi sokongan kepada PAS. 

"Kita berjaya memecahkan benteng yang memisahkan PAS dengan orang bukan Islam," tegasnya. 

Menurut beliau, orang bukan Islam mahu menjadi ahli PAS walaupun mereka sedar PAS adalah parti Islam setelah mereka mengkaji dan memahami perjuangan PAS. 

Sehubungan itu, beliau menyarankan ahli PAS agar menunjukkan akhlak Islam walaupun PAS tidak berupaya melaksanakan pemerintahan Islam kerana sistem federalisme yang tidak berakhlak. 

Tahalluf Siyasi, ujarnya membenarkan PAS menjalin hubungan dengan DAP dan bukannya dengan Umno apatah lagi PAS telah menghadapi pengalaman dikhianati Umno ketika menyertai kerajaan campuran dan bekerjasama dengan BN pada 1973. 

Namun katanya, semasa menyertai BN, Umno berusaha meilemahkan PAS dengan menghalang PAS masuk ke kubu Umno seperti Johor serta menentang syariat Islam yang mahu dilaksanakan oleh PAS. 

Katanya, kerajaan BN telah melaksanakan sistem pemerintahan yang tidak berakhlak berbanding PAS dan Pakatan Rakyat. 

Pada akhir ucapan, beliau mengingatkan seluruh ahli dan pimpinan PAS Selangor supaya menjadikan ijtimak sebagai medan muhasabah untuk merangka kerja selepas Muktamar Tahunan nanti.

Harakahdaily

Tiada ulasan: