18 November 2013

Graduan perubatan menganggur serius

14 Muharram 1435H. [MOD] -
SHAH ALAM: Kerajaan Pusat perlu mengambil tindakan segera terhadap dakwaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), sektor kesihatan bakal gagal menyediakan peluang pekerjaan kepada lepasan graduan perubatan tahun hadapan.

Kekurangan peluang pekerjaan itu menurut MMA, disebabkan kegagalan kerajaan membina hospital secukupnya bagi keperluan rakyat dan juga bilangan kolej perubatan swasta yang terlalu banyak sekaligus melahirkan ramai graduan perubatan.

Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman, berkata keadaan itu menyumbang kepada ketidakseimbangan antara kewujudan bilangan peluang pekerjaan dan jumlah graduan perubatan yang dikeluarkan.

“Kalau MMA sendiri keluarkan kenyataan, ini memang serius dan satu perkara yang menggerunkan. Saya harap Kementerian Kesihatan cepat respons perkara ini, kena teliti kerana graduan kita di luar sana pun ramai lagi.

“Kita juga tidak boleh jangka graduan kita di luar negara akan bekerja di luar negara seperti Arab dan United Kingdom misalnya sebab biasanya kalau bekerja di sana sekalipun mereka akan balik untuk kerja di tanah air,” kata Dr Rani kepada Selangor Kini.

Beliau berkata, walaupun membina hospital merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri sebelum ini bersetuju membina bangunan tambahan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah bagi menampung jumlah pesakit di Klang.

Sebelum ini Presiden MMA, Datuk N.K.S Tharmaseelan, dalam satu kenyataan dilaporkan berkata negara ini melahirkan sehingga 5,000 graduan perubatan setiap tahun.

Antara faktor penyumbang kepada keadaan ini, menurut beliau adalah bilangan kolej perubatan swasta sehingga mencecah 40 buah bagi 28 juta populasi, suatu jumlah yang tinggi pada masa ini sedangkan pada masa sama kurang pembangunan hospital baru.

Harkahdaily

No comments: