17 November 2013

4 kali p'raya, Kg Tukau Jaya belum dapat air bersih

13 Muharram 1435H. [MOD] -
MIRI: Penduduk Kampung Tukau Jaya, Jalan Bakam di sini yang kebanyakan penduduknya bekerja sebagai petani dan nelayan memohon agar pihak kerajaan dapat menyalurkan bekalan air bersih ke kampung mereka.

Sehinga kini mereka hanya bergantung dengan tadahan air hujan dan juga air kolam yang terdapat di situ bagi tujuan keperluan harian mereka.

Sekiranya berlaku musim kemarau yang berpanjangan, bekalan air mereka terputus dan air dalam tangki dan kolam tidak cukup untuk menampung keperluan harian mereka. 

Mengulas perkara itu, Yang Dipertua PAS Miri Jofri Jaraiee berkata, penduduk di sini berharap bajet 2014 untuk membantu penduduk luar bandar yang tidak ada bekalan air bersih dapat digunakan untuk kampung mereka.

Selain isu bekalan air bersih katanya, penduduk di sini juga berdepan masalah jalan yang serba daif.

Menurutnya, jalan batu kerikil yang digunakan sekarang banyak lobang dan ianya menyukarkan penduduk kampung ketika hujan lebat, manakala jambatan yang menghubung ke tempat tinggal mereka sehingga kini masih lagi belum siap sepenuhnya.

Menurut seorang penduduk yang dikenali sebagai Sibutir, mereka sudah lama memohon agar pihak pemerintah membaiki jalan dan jambatan usang itu tetapi sehingga kini sudah empat kali pilihanraya, tetapi tiada sebarang perubahan.

"Sudah empat wakil rakyat bersilih ganti tetapi tiada satu janji pun mereka tepati," katanya.

Menurutnya lagi mereka juga pernah memohon kepada kerajaan supaya dapat membuat Perimeter Survei atas tapak kampung Tukau Jaya, jalan Bakam Miri pada 17 september 2011 yang lalu tetapi sehingga kini mereka masih belum mendapat hakmilik kekal di tapak kediaman mereka.

"Kita bimbang sekiranya pihak kerajaan tidak memberi hakmilik kekal ke atas tanah penduduk asal di sini, kemungkinan  suatu hari nanti kami akan dipaksa keluar dari tanah kami sendiri akibat pembangunan yang sedang rancak berlaku disekitar kawasan ini," katanya lagi.

Dalam pada itu, Jofri yang juga Timbalan Pesuruhanjaya PAS Sarawak mahu pihak kerajaan dan mereka yang berkenaan segera menyelesaikan  masalah bekalan air bersih, jalan dan infrastruktur di kampung Tukau Jaya. 

"Kita harap pihak kerajaan dapat meninjau keadaan penduduk di kampung itu dengan memberi kemudahan asas seperti yang diperlukan oleh penduduk di situ," katanya.

Harakahdaily

Tiada ulasan: