17 November 2013

PAS harap Karpal berjiwa besar, akui jika silap

13 Muharram 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: PAS mengulangi desakan agar Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh bersikap jujur berdepan isu seruan pendaftaran PAS dibatalkan ekoran pendedahan terbaru rakaman kenyataan beliau itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Karpal selaku ahli politik senior seharusnya berjiwa besar dan berani mengakui kesilapannya jika dia benar mengakatan perkara itu.

"Dia (Karpal) kena jujur dan berjiwa besar. Sebelum ini dia nafikan, malah (Lim) Kit Siang juga menafikan selepas mendapat penjelasan Karpal itu.

"Dengan pendedahan ini bermakna Karpal bukan sahaja calar imej PAS tapi calar juga imej DAP apabila dia berbohong kepada Lim Kit Siang kata benda itu tidak berlaku. Dia telah heret Kit Siang buat kenyataan salah," kata Mahfuz.

Beliau mengulas penafian kedua karpal, yang terbaru terhadap Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dr. Raja Ahmad Iskandar A-Hiss yang mendedahkan rakaman kenyataan yang telah dibuat Karpal itu.

Raja Ahmad Iskandar mendakwa dalam rakaman penuh sidang akhbar selama 24 minit 47 saat yang dibuat Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu di Pulau Pinang, 5 November lalu itu, secara jelas ada menyeru supaya pendaftaran parti politik dan badan profesional berdasarkan agama dan kaum termasuk PAS dibatalkan kerana membahayakan negara.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mahu isu itu ditamatkan dengan Karpal sendiri tampil memohon maaf, bukan sahaja kepada PAS, tetapi juga kepada Kit Sinag dan DAP.

"Saya harap DAP boleh mendisiplinkan Karpal," katanya lagi.

Sebelum ini, ketika isu ini mula timbul, Kit Siang menjadi pemimpin DAP pertama menafikan apa yang didakwa telah diperkatakan Karpal itu.

Kemudian, Karpal sendiri tampil sendiri menafikan perkara itu selepas didesak banyak pihak.

Bagaimanapun, pendedahan terbaru bukti rakaman kenyataan Karpal oleh Raja Iskandar itu menuntut penjelasan kedua daripada ahli politik senior DAP itu.

Harakahdaily

Tiada ulasan: