17 November 2013

Surat layang: Drama yang sengaja ditimbulkan - Khalid

13 Muharram 1435H. [MOD] -
SHAH ALAM: Media tempatan terutama arus perdana digesa berhenti membuat laporan tidak berasas berhubung isu memorandum daripada Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor .

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata isu itu dianggap selesai apabila Kerajaan Negeri mengadakan pertemuan bersama BBC untuk menyerahkan lakaran Belanjawan 2014.

“Sudah banyak kali kita cerita isu ini. Isu memorandum ini sudah pun diselesaikan dengan mengambil kira kehendak dan kepentingan semua pihak.

“Saya minta media jangan laga-lagakan isu ini kalau tujuannya untuk melariskan surat khabar hasil daripada cerita tidak tepat,” katanya ketika diminta mengulas mengenai isu memorandum dari BBC.

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan penuh kepada pembangunan rakyat dan tidak akan melayan karenah atau dakwaan liar sesetengah pihak.

“Ini semua drama yang sengaja ditimbulkan. Kita sudah sampai ke satu tahap yang lebih tinggi dari segi kematangan dan fikiran dan tidak akan melayan karenah kecil seperti ini,” katanya.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat (PR) Selangor menyelar tindakan mengedar  ‘surat layang’ menggunakan nama Kelab Penyokong Kerajaan Selangor sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab.

Pimpinan PR Selangor turut menafikan menandatangani mana-mana surat atau kenyataan menyatakan perasaan marah dan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan Abdul Khalid.

Harakahdaily

No comments: