27 November 2013

Mesir tutup rangkaian stesen TV Al-Jazeera

23 Muharram 1435H. [MOD] -

Kaherah: Kerajaan Mesir yang terdesak untuk menghapuskan pengaruh Ikhwanul Muslimin, melancarkan serangan diplomatik terhadap penyokong gerakan di luar negara yang dikatakan menghulurkan bantuan senjata dan dana kepada pergerakan itu. 

Dalam tindakan terbaru mereka selepas Morsi digulingkan, mereka menyasarkan Qatar, satu-satunya negara Teluk yang secara terbuka menyokong Ikhwanul Muslimin dengan menutup rangkaian televisyen Al-Jazeera. 



Pihak berkuasa juga menahan beberapa wartawan yang bekerja di Kaherah untuk rangkaian televisyen yang berpejabat di Doha itu. 

Bagaimanapun, konfrontasi utama pihak berkuasa adalah masalah hubungan diplomatik dengan Turki. 

Kaherah Ahad lalu menyingkirkan duta Ankara selepas Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan mengutuk penindasan penyokong Morsi. 

Pergolakan bermula sebaik saja pasukan keselamatan Mesir memecah masuk dua kem penyokong Morsi pada 14 Ogos di Kaherah menyebabkan pertumpahan darah dan mengorbankan ratusan nyawa. 

Kaherah, Ankara berbalah 
Sehari selepas itu, Kaherah dan Ankara memanggil duta masing-masing tetapi Ankara kemudian menghantar wakilnya kembali ke Mesir, manakala duta Kaherah ke Turki berada di negaranya. 

Kedua-dua negara itu pada Ahad mengambil langkah mengurangkan hubungan diplomatik ke peringkat wakilnya. 

Penganalisis di Paris, Karim Bitar berkata perbalahan daripada meningkatnya nasionalisme Mesir dan halangan serantau bagi Turki termasuk di Syria yang menyaksikan ia kehilangan pengaruh di rantau ini. 

Bagi pengarah penyelidik di Brooking Doha Center, Shadi Hamid, pemimpin tentera pemerintah Mesir jelas tidak bersikap toleransi terhadap sebarang sokongan kepada Ikhwanul Muslimin sama ada dalam dan luar negara. 

Negara Teluk seperti Arab Saudi, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu menyediakan berbilion dolar bantuan kepada Mesir yang menunjukkan taktik diplomatiknya yang menyaksikan Kaherah mengembalikan dana Qatar, katanya. AFP

Tiada ulasan: