28 November 2013

Pakatan berdepan 2 cabaran unik di Sabah, Sarawak

24 Muharram 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat berdepan dengan dua cabaran unik di Sabah dan Sarawak, kata Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang.

Cabaran pertama, katanya ialah untuk berdepan dengan tuduhan bahawa parti-parti komponen Pakatan Rakyat DAP, PKR, dan PAS, bukan parti ‘tempatan’ tetapi hanya merupakan kepanjangan bagi parti-parti ‘utama’ yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia dan cenderung hanya pada kepentingan Semenanjung.
“Justeru itu, parti-parti ini dianggap tidak mampu menjaga kepentingan Sabah dan Sarawak,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, cabaran kedua melibatkan sejarah kerjasama di kalangan parti-parti pembangkang termasuk DAP, PKR dan PAS di kedua-dua negeri.

“Kedua-dua cabaran ini belum dapat diatasi sepenuhnya, namun usaha mengukuhkan kerjasama di kalangan parti-parti Pakatan Rakyat telah berjaya merungkai sebahagian isu dan perkara ini tercermin pada keputusan pilihanraya,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan sepanjang tiga hari lalu, saya telah mengemukakan hujah, disertakan dengan fakta dan angka, bahawa ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat, iaitu DAP, PKR dan PAS telah mencapai keputusan terbaik di peringkat parlimen dan negeri dalam pilihanraya umum tahun 1999, 2008 dan 2013 menerusi kerjasama mereka.

Kerjasama itu bukan saja membuahkan kejayaan untuk Pakatan Rakyat di Semenanjung Malaysia (kenyataan saya sepanjang tiga hari lalu memberikan tumpuan pada Semenanjung), malah juga di Sabah dan Sarawak. Ini menunjukkan dengan jelas faedah kerjasama di kalangan parti-parti Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat berdepan dengan dua cabaran unik di Sabah dan Sarawak.

Cabaran pertama ialah untuk berdepan dengan tuduhan bahawa parti-parti komponen Pakatan Rakyat DAP, PKR, dan PAS, bukan parti ‘tempatan’ tetapi hanya merupakan kepanjangan bagi parti-parti ‘utama’ yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia dan cenderung hanya pada kepentingan Semenanjung. Justeru itu, parti-parti ini dianggap tidak mampu menjaga kepentingan Sabah dan Sarawak.

Cabaran kedua melibatkan sejarah kerjasama di kalangan parti-parti pembangkang termasuk DAP, PKR dan PAS di kedua-dua negeri.

Kedua-dua cabaran ini belum dapat diatasi sepenuhnya, namun usaha mengukuhkan kerjasama di kalangan parti-parti Pakatan Rakyat telah berjaya merungkai sebahagian isu dan perkara ini tercermin pada keputusan pilihanraya.

Pada tahun 2008, pembangkang gagal menghindari pertembungan tiga penjuru di Sabah dan Sarawak.

Pada tahun itu, DAP dan PKR bertanding merebut kerusi bandar Stampin dan Sibu. Pertembungan tiga penjuru di Stampin paling merugikan, kerana pembangkang mampu menang di kawasan itu jika tidak berlaku pertembungan sedemikian.

Keadaan lebih buruk di Sabah. DAP telah bertanding di 5 kerusi parlimen, 4 daripadanya pertandingan tiga penjuru melibatkan PKR. Pertandingan tiga penjuru dengan PKR juga berlaku di 9 dari 10 kerusi negeri yang ditandingi DAP.

Pembangkang bernasib baik kerana tetap berjaya memenangi satu kerusi parlimen dan satu kerusi negeri di tengah-tengah pertembungan tiga penjuru berkenaan. Namun, kita percaya bahawa lebih banyak kerusi boleh dimenangi jika pembangkang bekerjasama lebih erat.

Selepas pembentukan Pakatan Rakyat pasca PRU tahun 2008, keadaan semakin baik dan kerjasama lebih erat telah membuahkan hasil.

Dalam pilihanraya negeri Sarawak tahun 2011, Pakatan berjaya mengelakkan pertembungan tiga penjuru di semua kerusi, dengan PKR bertanding di 49 kerusi, DAP 15, dan PAS 5. Pakatan berjaya memenangi 15 kerusi (DAP 12, PKR 3) dan menawan hampir semua kerusi bandar.

Kerjasama dan prestasi Pakatan Rakyat membuka jalan untuk menghasilkan keputusan lebih baik dalam PRU tahun 2013 apabila pakatan pembangkang di Sarawak berjaya meningkatkan jumlah kerusi parlimen yang dimenangi dari satu kerusi dalam PRU 2008 menjadi 6 kerusi (5 DAP dan 1 PKR).

Walaupun kita kecewa kerana gagal memenangi kerusi luar bandar, prestasi dalam PRU13 itu tetap memberangsangkan kerana ia dicapai di sebuah negeri yang telah lama dikuasai oleh BN.

Di Sabah, Pakatan berjaya menghindari pertembungan tiga penjuru di semua kerusi kecuali satu (kerusi Labuan ditandingi oleh PKR dan PAS).

Di peringkat parlimen, PKR bertanding merebut 20 kerusi, DAP 4 dan PAS 3. Di peringkat negeri, PKR bertanding untuk 43 kerusi, DAP 8 dan PAS 9.

Sekali lagi, keputusannya menggalakkan. Pakatan berjaya merebut 11 kerusi negeri apabila PKR memenangi 7 kerusi dan DAP 4 – peningkatan besar dari hanya satu kerusi pada tahun 2008.

Hakikat yang lebih memberangsangkan ialah bahawa 6 dari 11 kerusi yang dimenangi itu adalah bagi kawasan majoriti bumiputera.

Pada masa yang sama, Pakatan juga berjaya menafikan tanggapan bahawa ia kurang popular atau kurang boleh diharapkan berbanding parti-parti pembangkang Sabah dan Sarawak.

Dalam pilihanraya negeri Sarawak tahun 2011, parti pembangkang tempatan SNAP telah bertanding untuk 26 kerusi negeri, 25 daripadanya melibatkan PKR. Calon-calon SNAP bukan saja mendapatkan undi lebih sedikit berbanding calon-calon PKR di 25 kerusi negeri ini, malah SNAP juga telah hilang deposit di 24 kerusi.

Di Sabah, dalam PRU 2013, STAR yang diketuai oleh Jeffrey Kitingan telah bertanding di 21 kerusi parlimen, semuanya melibatkan pertembungan dengan parti Pakatan (16 dengan PKR, 3 dengan DAP, 2 dengan PAS). Kecuali di Keningau, kubu kuat Jeffrey Kitingan, calon Pakatan mendapat lebih banyak undi daripada calon STAR di semua 20 kerusi parlimen yang lain.

SAPP, sebuah parti yang berpangkalan di Sabah, telah bertanding merebut 8 kerusi parlimen dan gagal memenangi undi lebih banyak daripada Pakatan di semua 8 kerusi.

Corak yang sama boleh dilihat di peringkat negeri di Sabah.

Calon STAR bertanding di 49 dari 60 kerusi negeri dan mendapat undi lebih sedikit daripada calon Pakatan di 46 dari 49 kerusi berkenaan.

SAPP bertanding di 41 dari 60 kerusi negeri dan mendapat undi lebih sedikit dari calon Pakatan di 40 dari 41 kerusi. Antara kegagalan besar SAPP ialah apabila bekas Ahli Parlimen Sepanggar Eric Majimbun gagal mempertahankan kerusinya daripada direbut oleh Roland Chia, calon PKR. Untuk kerusi negeri Likas pula, Yong Teck Lee telah kalah di tangan Wong Hong Jun dari DAP.

Pilihanraya 5 Mei 2013 menjadi pengajaran buat Pembangkang di Sabah, kerana Barisan Nasional sebenarnya dapat dikalahkan di sekurang-kurangnya empat lagi kerusi parlimen dan lapan lagi kerusi Dun jika undi tidak pecah di kalangan calon Pembangkang.

Empat kerusi parlimen itu ialah P.168 Kota Marudu, P.180 Keningau, P.181 Tenom, dan P.182 Pensiangan, manakala lapan kerusi DUN terbabit adalah N.11 Kiulu, N.29 Kundasang, N.31 Paginatan, N.32 Tambunan, N.34 Liawan, No. 35 Melalap, N.38 Nabawan dan N.45 Elopura.

Malah, jika Pembangkang bersatu di Sabah, ia sepatutnya telah mampu mengumpul 11 kerusi parlimen (3 yang telah dimenangi, ditambah empat yang terlepas kerana undi pecah, dan empat lagi, iaitu P.177 Beaufort, P.170 Tuaran, P.179 Ranau dan P.169 Kota Belud) dan 26 kerusi Dun (iaitu 12 yang telah dimenangi, ditambah dengan lapan yang terlepas daripada genggaman kerana undi pecah dan enam lagi, iaitu N.2 Tanjong Kapor, N.30 Karanaan, N.36 Kemabong, N.37 Sook, N.44 Karamunting dan N.46 Tanjong Papat).

Keputusan di Sabah dan Sarawak jelas menunjukkan bahawa pengundi di kedua-dua negeri mahukan sebuah pakatan yang boleh diharapkan untuk menjadi pembangkang yang ampuh di peringkat negeri dan parlimen, selain sebagai sebuah pakatan yang boleh diharapkan untuk membentuk kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri.

Parti-parti yang sepenuhnya bersifat tempatan di Sabah dan Sarawak tidak mampu tampil sebagai satu pilihan yang ampuh. Pakatan yang menggabungkan kekuatan parti-parti komponennya adalah satu-satunya pilihan ampuh di kedua-dua negeri.

Masih berat cabaran yang perlu ditempuh Pakatan di Sabah dan Sarawak.

Walaupun kita telah mencapai beberapa kejayaan, kawasan luar landar yang ditakluk politik wang masih menjadi kubu kuat BN.

Masalah lompat parti yang kita lihat berlaku kebelakangan ini di Sabah dan Sarawak juga adalah sebahagian daripada lanskap politik yang perlu diatasi Pakatan.

Tetapi tidak dapat diragui sama sekali bahawa setiap parti dalam Pakatan telah mendapat faedah menerusi kerjasama mereka dan bahawa keputusan yang lebih baik hanya akan dicapai jika kerjasama Pakatan Rakyat dikukuhkan di Sabah dan Sarawak.

Masa depan politik Malaysia dalam PRU14 bergantung pada Sabah dan Sarawak. Itulah nilai cabaran politik yang sedang dihadapi Pakatan.

Sanggupkah Pakatan Rakyat bangkit untuk menyahut cabaran bagi menentukan masa depan bukan saja Sabah dan Sarawak, malah Malaysia secara keseluruhan dalam PRU14?

Harakahdaily

Tiada ulasan: