28 November 2013

Hutang 53.6% dari KDNK, menteri kata masih terkawal

24 Muharram 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Biarpun hutang kerajaan persekutuan kini mencecah 53.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), kerajaan masih mendakwa ianya terkawal.

Dengan baki sebanyak 1.4 peratus untuk mencecah 55 peratus dari KDNK, iaitu kadar yang ditetapkan oleh Bank Negara sebagai paras bahaya, persepsi umum melihat jawapan 'terkawal' yang dikatakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan di parlimen kelmarin sukar untuk dipercayai.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika diminta mengulas perkara itu semalam berkata, dalam menerangkan hutang negara ini, pemimpin BN itu seharusnya tahu asas ekonomi.

"Dia pilih angka yang dia mahu. Dia banding umpamanya dengan Singapura juga ada hutang, tapi dia tak sebut Singapura ada lebihan.

"Kalau saya ada hutang RM1,000, pendapatan saya RM10,000, itu OK. Tapi kalau pendapatan RM800, kemudian setiap tahun berhutang RM5,000, itu problem.

"Ini asas ekonomi yang menteri kena tahu," katanya pada sidang media di lobi parlimen.

Semalam dalam satu jawapan bertulis kepada Khalid Abdul Samad (PAS-Shah Alam), kerajaan sekali lagi memaklumkan kadar hutang negara kini meningkat kepada RM529.2 bilion atau 53.6 peratus berbanding KDNK sehingga 30 September tahun ini.

Kerajaan juga memaklumkan komited untuk memastikan paras hutang negara tidak melebihi 55 peratus daripada KDNK dengan menubuhkan Jawatankuasa Dasar Fiskal yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Hutang sahaja bukan masalah kalau kita ada lebihan.

"Tetapi kalau dah 15 tahun kita ada defisit, kemudian kita berhutang lagi, maknanya defisit kita terus bertambah. Itu yang kita bantah.

"Kalau kerajaan pilih satu angka dan tinggal angka yang lain, itu masalah," ujar Anwar.


Harakahdaily

No comments: