29 November 2013

Sindir: OKU gesa Ibrahim Ali tarik balik kenyataan

25 Muharram 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Sekretariat Prihatin OKU menggesa Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali menarik balik kenyataan yang menyentuh orang kelainan upaya (OKU) sebagaimana disiarkan Malaysiakini.


“Selaku mewakili suara OKU di Malaysia, kami menggesa Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali menarik balik kenyataan beliau yang menyentuh OKU sebagaimana disiarkan,” ujar Pengerusinya, Mohammad Faizal Che Yusof(gambar) dalam satu kenyataan.Beliau merujuk laporan yang disiarkan oleh Malaysiakini semalam yang bertajuk “PERKASA: Gaji sebesar itu, OKU pun boleh jadi YB”. 

“Kami amat kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Perkasa sebagaimana dilaporkan,” ujarnya lagi.
 
Beliau menegaskan kenyataan sebagaimana dipetik di bawah memberi konotasi negatif kepada individu-individu OKU yang sememangnya mempunyai potensi dan keperluan tersendiri.
 
"Kalau gaji besar, bergantung pula pada peruntukan kerajaan, sesiapa pun boleh jadi wakil rakyat. Orang pekak,bisu dan buta pun boleh jadi wakil rakyat."
 
Sebagaimana dilaporkan, katanya adalah dipercayai reaksi di atas dibuat berkaitan dengan Rang undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013, negeri Selangor Darul Ihsan.
 
“Kami menyeru kepada semua pihak agar tidak lagi menjadikan kecacatan atau keadaan fizikal seseorang OKU sebagai kenyataan bagi menyindir mana-mana pihak untuk melepas geram atau rasa tidak puas hati,” tegasnya.
 
Pertamanya, kata beliau kenyataan sebagai menyindir sedemikian begitu sekali mengguris hati OKU dan kedua ibu bapa mereka yang begitu susah payah membesarkan anak-anak OKU dengan pelbagai ujian dan mehnah.
 
Keduanya, ujar Mohammad Faizal kenyataan sedemikian yang kadang kala melampau mendatangkan tanggapan negatif kepada masyarakat bahawa OKU dengan kecacatannya teramat daif dan naïf untuk hidup seperti insan biasa bahkan seolah-olah tidak mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara .
 
Ketiga, tambahnya kenyataan sedemikian menjadikan usaha-usaha mengupayakan OKU dan meningkatkan kesedaran masyarakat kepada potensi dan keperluan OKU menjadi terencat dengan tanggapan awam natijah dari kenyataan yang dibuat.
 
“Harus diinsafi, kami menggerakkan usaha mengupayakan OKU atas prinsip potensi dan keperluan yang didasari dari sumber sahih iaitu Al-Quran dan Sunnah,” ujarnya.
 
Beliau berkata, dengan tersiarnya kenyataan sinis tersebut dari tokoh-tokoh yang dihormati masyarakat, ia akan mendatangkan tanggapan yang berlawanan masyarakat berbanding apa yang ditekankan oleh Islam yang diterima nilainya secara sejagat.


Harakahdaily

No comments: