29 November 2013

Cukai DBKL: Siapa yang bohong, Adnan atau Loga?

25 Muharram 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin (gambar)mempersoalkan siapa yang bercakap benar dalam isu berkaitan penangguhan kenaikan kadar baharu cukai taksiran pintu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


Beliau yang sebelum itu menjelaskan, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr J. Loga Bala Mohan memaklumkan persidangan Dewan Rakyat sebelum ini bahawa kenaikan kadar baharu cukai pintu DBKL akan ditangguh sehingga Mac tahun depan.Ini bagi membolehkan sesi pendengaran bantahan dilaksanakan mulai Januari depan, yang dianggar mengambil masa tiga bulan.

Namun, katanya kenyataan berbeza dari Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan kenaikan kadar baharu cukai tersebut tidak akan ditangguh sebaliknya berkuat kuasa pada 1 Jan depan.

"Kenyataan siapa yang kita nak dengar, penjelasan di dalam Dewan Rakyat ataupun di luar dewan. Siapa yang bercakap betul dan siapa pembohong, kita tidak tahu.

"Saya mahu kerajaan mengambil tindakan yang tegas dalam soal ini dan perkara ini bukan satu permainan sandiwara semata-mata," jelasnya kepada Harakahdaily.

Hanipa yang pada masa yang sama turut menegaskan, isu pelaksanaan segera atau penangguhan bukan perkara utama tetapi yang ditegaskan adalah soal kenaikan caj tersebut yang terlampu tinggi serta membebankan rakyat.

Jelasnya lagi, dalam situasi sekarang DBKL perlu membentangkan laporan kewangan mereka di Parlimen bagi mengetahui kedudukan kewangan agensi tersebut sehingga terpaksa menaikkan cukai pintu.

"Isu penangguhan bukan perkara utama dalam hal ini, apa yang kita tekankan adalah kenaikan caj yang tidak masuk akal serta melampau sehingga membebankan rakyat.

"Kita menggesa agar DBKL membentangkan laporan kewangan mereka di parlimen untuk kita melihat kedudukan terkini kewangan sehingga mereka begitu terdesak untuk menaikan kadar cukai pintu," sambung beliau yang juga AJK PAS Pusat.

Dalam pada itu, Hanipa yang meminta agar kedua-dua mereka tampil di parlimen minggu depan dan menjelaskan kepada media dan Ahli Parlimen mengenai keputusan yang berbeza walaupun berada dalam kementerian yang sama.


Harakahdaily

No comments: