GEORGETOWN: Jambatan Kedua Pulau Pinang akan tetap dibuka mengikut tarikh ditetapkan kerajaan pusat walaupun siasatan insiden keruntuhan tanjakan di susur keluar jambatan itu pada awal Jun lepas masih berjalan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Trafik Negeri Chow Kon Yeow berkata siasatan yang dilakukan suruhanjaya ditubuhkan kerajaan negeri tidak melarang jambatan itu dibuka mengikut tarikh yang akan ditetapkan.
"Selain daripada siasatan suruhanjaya, agensi berkenaan telah pun mengemukakan siasatan dan laporan mereka, dan kementerian serta syarikat Jambatan Kedua Sdn Bhd bertanggungjawab dalam memastikan aspek keselamatan apabila 'ramp' (tanjakan) ini dibuka untuk lalu lintas kelak.
"Sebenarnya jalan di bawah 'ramp' itu sudah pun dibuka untuk laluan dan lalu lintas. Mereka akan bertanggungjawab terhadap keselamatan 'ramp' itu," katanya ketika menjawab soalan tambahan Wong Hon Wai (DAP-Air Itam) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Wong ingin tahu sama ada kerajaan negeri bercadang melanjutkan tempoh siasatan insiden runtuhan di Jambatan Kedua Pulau Pinang. Jambatan itu dijangka dibuka September lepas tetapi ekoran insiden runtuhan tanjakan itu, tarikh pembukaannya telah ditangguhkan.
Chow berkata kerajaan negeri akan melanjutkan tempoh siasatan jika ada keperluan dan beliau berkata pihaknya tidak menetapkan tempoh tertentu untuk suruhanjaya itu menyiapkan siasatan.
"Tidak ada tempoh ditentukan, tetapi saya percaya suruhanjaya telah mengadakan sesi pendengaran dan siasatan dengan rapinya, dan siasatan dapat diselesaikan dalam masa yang terdekat," katanya.
Dalam kejadian 6 Jun lepas, tanjakan konkrit di susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di Batu Maung, runtuh dan mengakibatkan seorang terbunuh dan tiga lagi cedera.
Pada 6 Julai, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Datuk Ir Dr Johari Basri mengesahkan siasatan pihaknya mendapati wujud unsur kecuaian dari segi prosedur dan teknikal oleh pihak kontraktor.
Jambatan Kedua Pulau Pinang yang dibina dengan kos RM4.5 bilion merentangi sepanjang 23.5km dengan 16.9km di atas laut, akan menghubungkan Batu Kawan di tanah besar dan Batu Maung di pulau.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan