KUALA LUMPUR: Harus diingat Negeri Selangor merupakan kerajaan yang termaju dan terkaya dalam negara ini dan itu pun sebabnya Khalid Ibrahim telah diperlakukan berbagai-bagai cara untuk menjatuhkan beliau dalam pilihanraya lalu oleh Barisan Nasional, tulis Aspan Alias.
Menurutnya, PAS juga mendapat habuan dengan penambahan kerusi yang mendadak di Selangor kerana kebaikan yang nampak oleh rakyat Selangor dari keluhuran pentadbiran kerajaan Selangor itu.“Hanya satu yang perlu menjadi pertimbangan, jika ada lagi hasrat untuk menambah pendapatan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Exco kerajaan mungkin ia tidak perlu diberikan kenaikan gaji dan elaun mereka,” tulis beliau di dalam blognya.
Baginya, mungkin Kerajaan Selangor memadai jika mereka hanya diberikan penambahan yang tidak tetap dan pemberian itu mengikut prestasi kerajaan setiap tahun sahaja.
Tulisan penuh beliau sebagaimana di bawah.
Ketekunan TS Khalid nampak dipandang dan terasa dipegang
Kenaikan gaji ahli-ahli Dewan Undangan Negeri serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor (Exco) bersama YDP dan Timbalan YDP Dewan Undangan Negeri telah menjadi isu di kalangan pemimpin PKR, termasuk Anwar Ibrahim sendiri. Anwar berpendapat kenaikan itu perlu tetapi agak terlalu tinggi. Azmin Ali pula berkata pembayaran gaji baru itu perlu ditangguhkan dahulu. Sebenarnya isu ini ada baik dan tidaknya.
Baiknya kenaikan itu diharap akan menjadikan Adun-Adun yang di pilih rakyat serta Ahli Exco kerajaan bekerja lebih kuat dan jujur. Bagi saya, Negeri Selangor telah menunjukkan prestasi kepimpinan kerajaan yang baik dan jika imbuhan yang agak besar terhadap mereka yang bekerja untuk rakyat itu dibuat, ia tidak mendatangkan apa-apa kesan negatif terhadap kerajaan yang memimpin negeri itu.
Pembayaran gaji yang lebih tinggi itu diharapkan akan menambah semangat mereka untuk bekerja dengan lebih tinggi dan bersemangat lagi. Negeri Selangor telah membuktikan bahawa jika negeri ditadbir dengan baik dan jujur rakyat tidak akan berasa marah terhadap kenaikan gaji yang dianggap tinggi oleh setengah pihak dan individu dalam kerajaan Selangor itu sendiri.
Harus diingat Negeri Selangor merupakan kerajaan yang termaju dan terkaya dalam negara ini dan itu pun sebabnya Khalid Ibrahim telah diperlakukan berbagai-bagai cara untuk menjatuhkan beliau dalam pilihanraya lalu oleh Barisan Nasional. PAS juga mendapat habuan dengan penambahan kerusi yang mendadak di Selangor kerana kebaikan yang nampak oleh rakyat Selangor dari keluhuran pentadbiran kerajaan Selangor itu.
Hanya satu yang perlu menjadi pertimbangan, jika ada lagi hasrat untuk menambah pendapatan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Exco kerajaan mungkin ia tidak perlu diberikan kenaikan gaji dan elaun mereka. Mungkin Kerajaan Selangor memadai jika mereka hanya diberikan penambahan yang tidak tetap dan pemberian itu mengikut prestasi kerajaan setiap tahun sahaja.
Ia boleh dilakukan dengan pembayaran ‘Ex-gratia’, biar pun tinggi tetapi ia tidak membebankan kerajaan negeri itu dengan pembayaran gaji yang terlalu tinggi. Jika kena pada tahun yang kerajaan negeri berkurangan kemajuannya maka ‘ex-gratia’ itu tidak perlu dibayar. Dengan cara itu ia akan membuatkan semua penjawat awam negeri berlumba-lumba bekerja dengan tekun kerana kejayaan ketekunan kerja mereka akan membawa lebih pendapatan kepada mereka sendiri.
Sesungguhnya rakyat tidak marah dengan kenaikan ini. Yang rakyat marah ialah menambah pendapatan dengan ‘mencuri’ seperti rasuah. Dengan kelebihan pendapatan tentunya Khalid Ibrahim mahu melihat kerajaan Selangor terhindar dari kegiatan rasuah yang berlebihan.
Rakyat tidak suka harta mereka dicuri seperti apa yang berlaku dalam kerajaan Persekutuan dalam mana wang rakyat diperguna tanpa sebarang halangan, sehingga isteri Perdana Menteri pun dibenar bermaharajalela dengan jet eksekutif. Rakyat menganggapnya untuk menampung isteri dan keluarga Perdana Menteri dan pemimpin lain amat mahal sedangkan rakyat dalam keadaan susah. Rakyat bukan hendak menjadikan pemimpin mereka sebagai hamba abdi tetapi mereka mahukan segala pembayaran dan kos menanggung hidup pemimpin-pemimpin mereka janganlah terlalu tinggi.
Sehingga hari ini belum lagi mana-mana kerajaan negeri berprestasi seperti Kerajaan Negeri Selangor dan parti yang memerintah wajar berterima kasih kepada kepimpinan negeri mereka tadbir sendiri berjaya sebagai sebuah kerajaan yang begitu mantap dan telus pentadbirannya.
Bagi saya seorang, Khalid jangan diapa-apakan kerana beliau telah berjaya dalam urusan dan tanggungjawab yang diberikan kepada beliau. Jika PKR merasakan yang Pakatan Rakyat akan berjaya mengambil alih kerajaan Persekutuan dan hendak membawa Khalid ke Pusat seperti yang pernah saya dengar dahulu, ia juga adalah tindakan yang baik untuk memberikan peluang kepada mana-mana pemimpin dalam PKR itu.
Jika Azmin Ali dianggap mampu untuk mengambil alih berikanlah kepada Azmin untuk menggantikan Khalid. Yang pentingnya jangan bergaduh dan berperang kerana isu kenaikan gaji ini. Jika benar mereka dalam PKR merasakan yang gaji mereka terlalu tinggi, sedekahkan gaji itu kepada ramai asnaf-asnaf yang perlukan bantuan dalam negara ini. Kalau tidak ada asnaf-asnaf di Selangor berikan kepada mereka di negeri lain untuk amal jariah dan ubudiyah masing-masing.
Ramai lagi yang memerlukan bantuan di negeri lain. Di Pulau Pinang ramai orang Melayu dan Islam masih ketinggalan kerana mereka hanya dijadikan sebagai penampal poster dalam pilihanraya sahaja dan tidak nampak usaha untuk menaikkan kemajuan bangsa itu di negeri Pulau Mutiara itu. Di Kedah ramai lagi yang miskin. Begitu juga di Melaka, malahan di Sabah dan Sarawak kadar kemiskinan masih tinggi dan elok diberikan bantuan kepada mereka ini jika wang gaji mereka dianggap terlalu tinggi.
Itu sahaja komen saya tentang isu kenaikan gaji penjawat awam dan wakil-wakil rakyat negeri di Selangor ini. Asalkan sahaja wang rakyat tidak dicuri seperti yang berlaku di Persekutuan itu, berbelanjalah. Kerja kuat anda di Selangor sememangnya nampak dipandang dan terasa dipegang. Hanya kenaikan gaji Adun itu perlu dinaikkan sedikit lagi kerana mereka hanya mendapat 87 peratus kenaikan sahaja berbanding dengan yang lain. Ada yang sampai melebihi 300 peratus.
Syabas Tan Sri Khalid semoga saudara terus memimpin dengan cara yang anda tunjukkan selama ini. Di Selangor pergeseran berlaku kerana kejayaan, sedangkan di Persekutuan pergeseran berlaku kerana kegagalan.
Rupa-rupanya kejayaan juga boleh membawa perbalahan.
Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan