29 November 2013

Johor juga pertimbang naikkan gaji Adun

25 Muharram 1435H. [MOD] -
KLUANG: Kerajaan Negeri Johor sedang mempertimbang untuk menaikkan gaji anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor selaras dengan beban kerja yang ditanggung mereka, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar).

    
Beliau berkata kajian sedang dilakukan untuk meneliti kenaikan itu, bagaimanapun jelasnya, ia tidak akan terlalu tinggi seperti dinikmati Adun Selangor.
"56 orang Adun Johor mempunyai banyak kerja tetapi kita belum sampai peringkat terdesak untuk menaikkan gaji," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Agro Johor 2013 sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Johor, di Projek Pertanian Moden Ayer Hitam, di sini hari ini.
    
Mohamed Khaled menegaskan Johor tidak berasa cemburu dengan kenaikan gaji Adun Selangor dan tidak akan bersaing untuk menyamai apa yang dilakukan kerajaan berkenaan.
    
Rabu lepas, Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 yang memperuntukkan kenaikan gaji menteri besar, Exco dan Adun dengan timbalan speaker mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3 peratus.

Gaji menteri besar dinaikan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota exco kerajaan negeri daripada RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker DUN dari RM6,109.29 kepada RM22,500; timbalan speaker daripada RM3,327.50 kepada RM15,750 dan Adun daripada RM6,000 kepada RM11,250.
    
Sementara itu, berucap merasmikan ekspo itu, Mohamed Khaled berkata kerajaan Johor sentiasa komited untuk membangunkan sektor pertanian negeri ini bagi memastikan ia kekal sebagai gedung dan pengeluar utama makanan negara.
    
Beliau berkata pelbagai usaha sudah dilaksanakan kerajaan negeri bagi meningkatkan pengeluaran tanaman termasuk menerusi program pembukaan tanah secara besar-besaran, membangunkan tanah terbiar dan teknologi serta melahirkan modal insan bagi menyokong sektor pertanian.
    
"Johor bukan sahaja berjaya mengurangkan import pengeluar sayur-sayuran dan buah-buahan untuk kegunaan penduduk negeri ini malah mampu membekalkannya kepada Singapura dan Hong Kong.
    
"Mengikut statistik tahun lepas, Johor menduduki tangga kedua pengeluaran sayur-sayuran di negara ini dengan jumlah pengeluaran melebihi 136,000 tan metrik berbanding pengeluaran keseluruhan Malaysia 878,975 tan metrik," katanya. 

Beliau berkata, Johor juga kekal sebagai pengeluar ayam daging utama di negara ini iaitu melebihi RM2.54 bilion setahun manakala telur ayam pula dengan pengeluaran output 3 bilion biji bernilai RM1.06 bilion.
    
Dalam sektor perikanan, beliau berkata Johor menduduki tempat ketiga tahun lepas dalam kategori pembekalan ikan air payau dengan 11.67 peratus pengeluaran manakala pengeluaran ikan hiasan melebihi 238 juta tan metrik iaitu lebih 70 peratus sumbangan keseluruhan kepada negara.
    
Ekspo Agro Johor 2013 yang bermula Rabu hingga Ahad ini merupakan kemuncak Mini Agro Johor yang diadakan di Johor Baharu, Kota Tinggi, Mersing, Pontian dan Muar sejak dua bulan lepas.
    
Bertemakan 'Johor Gedung Makanan Negara', ekspo tersebut menyasarkan jualan sebanyak RM10 juta serta kehadiran 500,000 pengunjung ke 220 gerai jualan. 



- Bernama

No comments: