13 November 2013

Risiko industri beras di tangan seorang individu

9 Muharram 1435H. [MOD] -

TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS) mengingatkan kerajaan agar jangan benarkan pihak berkepentingan keuntungan semata-mata untuk memperjudikan sekuriti makanan utama negara.

Penswastaan LPN kepada BERNAS sejak 1994 telah meletakkan bekalan, import dan pengedaran beras kepada monopoli sebuah syarikat konglomerat yang meletakkan beras sebagai komoditi perniagaan dalam pasaran saham.


Kini BERNAS dicadangkan dinyahsenarai dan kami melihat ini bakal menjejaskan bukan sahaja kebajikan seluruh industri pengeluaran padi negara iaitu petani, pengilang dan pengedar bumiputera.

Malah sekuriti makanan utama negara itu turut diperjudikan di tangan syarikat yang hanya mengutamakan keuntungan.

BERNAS sebagai sebuah syarikat tidak harus dibiarkan bertindak di luar kawalan kerajaan untuk memastikan sektor bekalan makanan utama sentiasa memenuhi keperluan negara dan bukan menjadi industri yang ditentukan oleh kehendak syarikat semata-mata.

Dengan menyahsenaraikan BERNAS, ekuiti syarikat tersebut hanya berada dalam milik syarikat secara mutlak dan menyisihkan golongan terpenting dalam sektor tersebut iaitu petani.

Kejutan dari Hong Kong pada 2009


Membiarkan makanan utama negara di tangan syarikat yang memonopoli semua rantai pengeluaran dan pembekalan beras bakal mendedahkan sektor tersebut kepada manipulasi pasaran yang berbahaya kepada sekuriti makanan negara.

Pada tahun 2009, rakyat pernah dikejutkan apabila saham BERNAS dibeli oleh syarikat asing berpusat di Hong Kong apabila ia menguasai 31 peratus dari saham syarikat tersebut.

TERAS kesal sejak penswastaan sektor padi, isu petani yang berkaitan sektor ini, banyak yang tidak terbela termasuk soal penentuan harga, pemotongan padi basah, nasib pengilang padi bumiputera, isu kos input pertanian yang semakin meningkat dan kekurangan infrastruktur kawasan pengairan yang banyak tidak dikelola dengan baik.

Kini sektor pengeluaran dan bekalan beras dibenarkan dimonopoli oleh seorang individu yang boleh menentukan harga berdasarkan pertimbangan keuntungan yang hendak diraih.

Jika ekuiti BERNAS dibenarkan dibolot semuanya oleh syarikat berkepentingan dari seorang individu melalui proksi pelbagai syarikat, sekuriti makanan negara akan terdedah kepada perhitungan dan manipulasi di tangan hanya seorang individu.

TERAS membantah sebarang tindakan untuk membenarkan BERNAS di serah sepenuhnya kepada monopoli seorang atau syarikat.

Kepentingan politik

Kami berpandangan BERNAS perlu kembali diletakkan kepada tujuan asal ia diwujudkan dan pihak kerajaan tidak boleh berlepas tangan untuk membenarkan sektor pembekalan beras dimonopoli berdasarkan pasaran semata-mata.

Kami juga menuntut supaya sektor ini tidak boleh diperjudikan melalui kepentingan hubungan politik kerana bekalan makanan negara adalah soal keselamatan nasional bukan hanya soal industri perniagaan semata-mata.

Melepaskan urusan bekalan beras negara dan import beras kepada monopoli sebuah syarikat dengan melupuskan ekuiti awam adalah suatu tindakan memperjudikan sekuriti makanan kepada manipulasi syarikat untuk meraih keuntungan lumayan.

Kerajaan tidak boleh membiarkan mandat yang diberi kepada BERNAS untuk menjaga kepentingan petani dan pengilang bumiputera diperjudikan.

Perhitungan untuk membolot keuntungan oleh satu syarikat sahaja sehingga 2021 adalah suatu pengkhianatan kepada mandat yang diberi oleh kerajaan dan pihak kerajaan akan turut bertanggungjawab jika sektor industri padi negara terlepas kepada kuasa asing.


MOHD AZMI ABDUL HAMID presiden TERAS.

No comments: