13 November 2013

Krisis pasca bencana di Filipina

9 Muharram 1435H. [MOD] -


Sebahagian mangsa Taufan Haiyan beratur bagi mendapatkan beras percuma yang diagihkan seorang ahli perniagaan di Tacloban, tengah Filipina, semalam. - REUTERS
TACLOBAN 12 Nov. - Kerajaan Filipina hari ini menempatkan kereta perisai, mendirikan pos pemeriksaan dan melaksanakan perintah berkurung dalam usaha untuk menamatkan masalah kecurian di bandar ini selepas dilanda Taufan Haiyan.

Taufan Haiyan yang membadai Tacloban, bandar yang dihuni 220,000 penduduk pada Jumaat lalu, mengakibatkan sekurang-kurangnya 1,774 maut, tetapi lebih 10,000 orang dikhuatiri terbunuh.

Mangsa yang terselamat kini terdesak untuk mendapatkan makanan serta bekalan ubat-ubatan sehingga bertindak menyerang konvoi bekalan bantuan, sekali gus menghalang usaha menyalurkan pertolongan.

Setiausaha Dalam Negeri, Mar Roxas berkata, empat kereta perisai ditempatkan bagi mengekang masalah kecurian dan membantu mengawal keadaan, sehari selepas beratus-ratus tentera dan polis dihantar ke bandar ini.

Katanya, pos pemeriksaan didirikan bagi mengelak mangsa menyerbu trak yang membawa bekalan bantuan.
Roxas berkata, keutamaan kerajaan kini ialah memulihkan persekitaran, membawa bekalan bantuan dan mula mengumpulkan mayat.

Sementara itu, Filipina setakat ini telah menerima bantuan kecemasan sebanyak AS$54 juta (RM173 juta) daripada masyarakat antarabangsa dengan Kesatuan Eropah (EU) menyalurkan bantuan sebanyak AS$4 juta (RM12.8 juta) dan AS$13.4 juta (RM42.9 juta) lagi untuk pemulihan, menurut Pesuruhjaya Pembangunan EU, Andris Piebalgs di Manila.

Jerman pula mengumumkan bantuan sebanyak AS$5.36 juta (RM17.1 juta), Britain; AS$13.4 juta (RM42.9 juta), Australia; AS$9.36 juta (RM 29.9 juta).

Jepun menghantar bantuan bekalan, ubat-ubatan dan pasukan sukarelawan, selain pasukan penyelamat yang akan dihantar oleh Malaysia.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula melancarkan rayuan bantuan kecemasan hari ini untuk mangsa Taufan Haiyan di Filipina dengan Ketua Kemanusiaan PBB, Valerie Amos sedang dalam perjalanan ke negara ini.

Pentagon dalam pada itu mengarahkan pesawat pengangkut, beberapa kapal dan pesawat yang kini berada di Hong Kong untuk ke Filipina bagi membantu operasi menyelamat. - AFP/DPA

Tiada ulasan: