19 November 2013

Rosmah Mansor Kembali 'Mengganas'

15 Muharram 1435H. [MOD] -
Setelah sekian lama agak menyepikan diri dari sorotan cerita-cerita sensasi, isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor secara tiba-tiba kembali menjadi bahan bualan rakyat. Puncanya hanyalah kerana beliau menghadiri Forum Ahli Perniagaan Wanita Antarabangsa ke 4 di Qatar, minggu lalu dengan menggunakan jet eksekutif.

Di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Shahidan Kassim telah disoal bertalu-talu oleh Ahli Parlimen PR berkenaan isu tersebut sehingga banyak soalan gagal dijelaskannya dengan meyakinan. Beliau hanya menjelaskan pemergian Rosmah ke Qatar dengan menggunakan jet eksekutif itu adalah dengan kelulusan kabinet dan untuk kepentingan negara tetapi gagal memberi jawapan yang memuaskan tentang boleh atau tidak isteri seorang Perdana Menteri mewakili kerajaan dalam lawatan ke luar negara dan bagaimana Najib sebagai ketua kabinet telah terlibat dalam urusan yang melibatkan konflik kepentingan.



Sehubungan itu, di media sosial, alam maya dan di alam nyata, isu Rosmah kembali menjadi perbualan dan rata-rata kecaman lebih banyak kedengaran berbanding kewajarannya mewakili negara dan menggunakan jet eksekutif itu. Dalam masa yang sama, Najib yang meluluskan penggunakan sejumlah wang rakyat untuk perbelanjaan isterinya itu turut dikecam manakala anggota kabinet yang menyokongnya pula dianggap tidak lebih umpama "kabinet dapur" saja peranannya.

Sebelum ini, terutamanya pada tahun-tahun pertama dan kedua Najib menjadi Perdana Menteri, isu berkaitan Rosmah begitu hangat menjadi perbualan dan kecaman rakyat. Beliau didapati sering berbelanja mewah, memakai pakaian yang mahal dan bling-bling, memiliki banyak koleksi beg tangan mewah dan kerap kali mengadakan lawatan ke luar negara menggunakan jet eksekutif kerajaan. 

Beliau juga mahu dirinya dipanggil First Lady dengan mengadakan persidangan Wanita-wanita Pertama di Kuala Lumpur dan yang paling sensasi ialah cincin RM24 juta yang dikaitkan dengan dirinya. Dalam beberapa pilihanraya kecil pula, beliau turut berkempen untuk calon BN, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana isteri Perdana Menteri sebelum ini.

Bagaimanapun kira-kira setahun sebelum PRU 13 pada Mei lalu, Rosmah agak menyepikan diri dan jarang menonjol. Beliau seperti sudah menjadi isteri yang baik, tawaduk dan merendah diri. Program persendiriannya makin jarang dan beliau hanya menjadi peneman kepada Najib dalam lawatan di dalam dan luar negara saja. Perubahan ini mungkin dilakukan kerana Najib dan para punah-sihatnya menyedari bahawa penonjolan Rosmah yang keterlaluan boleh memberi kesan buruk dalam sokongan rakyat kepada UMNO dan BN.

Kini dengan kembalinya Rosmah kepada watak dan tabiat asalnya iaitu mengadakan lawatan ke luar negara dengan menggunakan jet eksekutif dan perbelanjaan kerajaan, apakah ini merupakan petanda beliau bakal kembali mengganas lagi? Dengan pilihanraya sudah berakhir dah kecaman di Parlimen serta suara bising rakyat tidak akan mengubah apa-apa sekurang-kurangnya sehingga tahun 2018, apakah juga selepas ini lebih banyak lagi cerita-cerita sensasi bakal keluar dan lebih banyak penggunaan jet eksekutif dibenarkan kepada isteri Perdana Menteri ini?

Melihat kecenderungan ini, rakyat nampaknya kena bersedia menyaksikan lebih banyak cerita-cerita sensasi mengenainya. Bermula dengan menggunakan jet eksekutif sebagai landasan untuk memunculkan dirinya, mungkin lebih banyak cerita mewah dan boros akan muncul selepas ini.

Walau apa pun kebimbangan rakyat mengenai isu Rosmah ini, tindakan Najib dan kabinet meluluskan lawatan dan membenarkan isterinya mewakili kerajaan adalah petunjuk jelas bahawa ungkapan kata-kata "berubah sebelum rebah" yang sering dilaungkan sebelum ini hanyalah umpan untuk mengekalkan kuasa dan memperolehi undi semata-mata. Setelah kuasa diperolehi, bukan saja perkataan "berubah" tidak lagi disebut, bahkan janji "rakyat didahulukan", "kami mendengar" dan banyak lagi sebenarnya hanyalah ungkapan-ungkapan manis yang penuh dengan racun saja.

Jika sekiranya ketika hampir pilihanraya, kelibat Rosmah diperlahankan sebagai suatu tanda "berubah", seharusnya perkara itu terus dilakukan kerana masing-masing sudah pun menyedari ada yang tidak kena dengannnya, terutamanya dalam penggunaan jet eksekutif dan perbelanjaan wang rakyat.

Lebih-lebih lagi Parlimen juga diberitahu sebelum ini bahawa kerajaan telah membelanjakan hampir RM15 juta untuk petrol jet kerajaan manakala penyelenggaraannya pula menelan belanja lebih RM160 juta. Untuk setiap penerbangan pula, kos petrol saja sebanyak RM470 ribu.

Tidak seperti Mahathir, walaupun beliau cukup berkuasa selama 22 tahun pemerintahannya tetapi tidak pernah sekali pun isterinya, Siti Hasmah dibenarkan menggunakan jet eksekutif secara bersendirian. Anak-anaknya pula langsung tidak berpeluang menumpang untuk ke mana-mana.

Malangnya di era Najib ini, jet eksekutif tidak ubah seperti bas Tong Fong layaknya. Isterinya kerapkali dibenarkan menggunakannya untuk ke mana-mana, manakala anak-anak dan bakal menantu pun turut sama bermewah menaikinya. Dilaporkan juga kenalan rapat keluarga Perdana Menteri turut ramai yang sudah menumpangnya.

Dalam hal ini, Najib seharusnya insaf bahawa sokongan rakyat kepada UMNO dan BN dalam pilihanraya lalu tidak sebenar mana. Sokongan itu pula sebenarnya sangat rapuh dan jika diambil kira beban derita rakyat dalam mengharungi kehidupan dengan kenaikan harga barang, penghapusan subsidi gula, pengenalan cukai GST dan kenaikan cukai pintu oleh DBKL, ditambah lagi dengan cadangan-cadangan pelik oleh kerajaan seperti mahu melarang motorsikal kecil berada di jalanraya dan melupuskan kereta berusia melebihi 12 tahun, sokongan itu bila-bila sahaja boleh berderai.

Karenah Rosmah yang menunjukkan beliau seolah-olah kembali "mengganas" dengan perangai lamanya, tentunya saja menambahkan lagi susah dan sengsaranya UMNO dalam menghadapi pilihanraya akan datang.

Oleh itu dalam mengurus kerajaan, haruslah ada kewajarannya. Kalau pun Najib tidak berasa malu dengan 51 peratus pengundi yang tidak mengundi BN dalam pilihanraya lalu, sekurang-kurangnya malulah kepada Tuhan yang sentiasa melihat dan menyaksikan begitu banyak kontradiksi antara yang dicakap dan dibuatnya dalam memimpin negara ini.


Harakahdaily

No comments: