24 November 2013

Syariah: PAS sedia muzakarah dengan Umno

20 Muharram 1435H. [MOD] -

SHAH ALAM: PAS mengajak Umno untuk bermuzakarah sekiranya parti itu benar-benar bersungguh bagi memastikan pelaksanaan hukum Islam dapat dilaksanakan di negara ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengulangi pelawaan itu ketika menyampaikan ucapan penangguhan di Stadium Malawati, sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-59.

Berucap di hadapan para perwakilan, Ustaz Hadi menegaskan PAS bersedia dengan barisan pakar untuk tujuan muzakarah itu seperti ulama, mahupun peguam.

"Kita ada ramai ahli. Ada yang tua, ada yang muda. Kita ada Tuan Guru Nik Aziz, Datuk Harun Taib. Kalau yang muda, kita ada Nik Abduh, Nik Zawawi. Kalau peguam, kita ada Tun Salleh Abbas atau Wan Mutalib Embong. Yang muda, ada Asmuni Awi, Hanipa Maidin," kata beliau.

Dalam pada itu, Ustaz Hadi menegaskan PAS sudah beberapa kali berbincang dan bermuzakarah berkaitan hukum Islam, termasuk dengan DAP dan juga badan-badan agama lain.

Malangnya, kata beliau yang paling kuat menentang Islam ialah Umno, bukannya DAP, malah Umno tidak pernah menghadiri majlis penjelasan berkaitan hukum Islam walaupun dipelawa PAS.

"DAP memang tidak setuju dengan Islam. Kalau dia setuju, dia dah lama masuk Islam. Tapi DAP bercakap dengan kita jika tidak setuju dengan hukum Islam. Pernah tahun 90-an kita adakan perbincangan mengenai hudud. DAP datang, persatuan kristian, buddha, sikh datang, Umno yang tidak datang," kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Ustaz Hadi berkata Umno tidak mampu mengikut hukum Islam kerana ia berbeza dengan ideologi perjuangan yang dibawa parti Melayu terbesar itu.

"Kalau Umno ikut, mereka akan tersangkut. Sebab itu bukan ideologi perjuangan mereka," kata beliau lagi.

Tiada ulasan: