24 November 2013

PAS tegas pendirian isu antarabangsa

20 Muharram 1435H. [MOD] -

SHAH ALAM: PAS tegas dengan pendirian mereka dalam isu-isu yang membabitkan soal kemanusiaan termasuk di peringkat antarabangsa.

Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (gambar) yang berucap mewakili Lajnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar pada penggulungan ucapan dasar di Muktamar Tahunan PAS kali ke-59 menjelaskan penglibatan PAS di peringkat antarabangsa sentiasa berterusan sehingga sekarang.

Katanya, walaupun PAS bergerak aktif dalam hubungan tersebut namun tiada laporan media dilakukan bagi menjaga sensitiviti sesebuah negara.

"Kita tekankan di sini PAS tidak pernah lari dengan pendirian yang dibawa sejak dari dulu lagi dalam hubungan dengan masyarakat antarabangsa.

"Kita sentiasa bertegas dalam soal yang membabitkan kemanusiaan, tidak kira apa jua peringkat lapisan kaum," ucap beliau.

Jelasnya, PAS sentiasa berkongsi pengalaman antara satu sama lain dalam hal-hal antarabangsa dan juga hubungan dengan pimpinan negara-negara luar.

"Kita kongsi pengalaman antara satu sama lain, isu-isu antarabangsa dan menjaga baik hubungan dengan pimpinan setiap negara.

"Sebab itu apa yang berlaku di Mesir atau Timur Tengah kita tegas menentang dan kita apa terus beri sokongan tentang apa yang berlaku," katanya yang juga Adun Batu Burok.

Syed Azman yang turut memberitahu insiden di Syria menjadi perhatian serius PAS yang merupakan tragedi yang tidak dapat digambarkan.

Namun, apabila PAS berdepan dengan isu-isu ini secara meluas maka PAS akan terus dilabelkan dengan istilah membantu kelompok pemberontak.

"Isu Syria kita jelas, kita membantu dan tidak sangguh melihat insiden tragedi yang berlaku tetapi kita tidak menceritakan apa kita lakukan itu melalui publisiti yang meluas.

"Jika ini yang kita lakukan maka kita akan mendapat label sebagai membantu golongan pemberontak. Atas alasan tersebut mungkin tidak semua tahu apa yang telah PAS lakukan," jelasnya.

Beliau yakin dengan sumbangan yang dilakukan PAS di peringkat antarabangsa menjadikan parti itu terus berada di hadapan dalam pola politik dunia baru.

Harakahdaily

No comments: