30 November 2013

Umno guna ustaz sebagai ayam sabung lawan PAS

26 Muharram 1435H. [MOD] -
KEPALA BATAS: Perlantikan individu berlatarbelakangkan agama ke dalam Umno bukan bertujuan sebagai penegur atau pemandu perjalan parti Melayu itu tetapi dilihat lebih kepada sebagai 'ayam sabung' untuk melawan PAS.


Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad berkata sejarah membuktikan betapa teguran, pandangan dan suara ahli agama terhadap Umno tidak menjadi keutamaan oleh parti itu malah hanya dipandang sepi.

"Umno bukan impikan orang beragama. Mereka hanya memperkudakan golongan terbabit untuk berhadapan dengan hujah PAS semata-mata.  Lepas tu dibuang bagaikan sampah," katanya ketika berceramah di Markaz PAS Pongsu Seribu, di sini semalam.
Ceramah semalam diadakan sempena kemenangan PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N20 Sungai Limau yang turut dihadiri Adun baru SUngai Limau Ustaz Mohd Azam Abd Samat.
Terdahulu beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat turut mengulas perlantikan pendakwah terkenal, Ustaz Mohammad Kazim Elias sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno semalam.
Katanya, perkara itu bukan sesuatu yang pelik malah sudah dijangka kerana Ustaz Kazim dalam ceramahnya sebelum ini banyak kali tampil dipentas ceramah anjuran Umno dan mengkritik PAS secara terbuka.
"Sudah terang lagi bersuluh apa yang Ustaz Kazim buat.  Kita tidak payah bersusah meneka siapa dirinya, " katanya lagi.
Mengulas lanjut beliau berkata, kemasukan Ustaz Kazim ke dalam Umno itu langsung tidak memberi kesan kepada PAS sebaliknya lebih menyenangkan PAS untuk meneruskan siri dakwahnya kepada Ummah tanpa diganggu oleh 'individu yang mengakui PAS'.
Menurut beliau lagi, hakikatnya individu berlatarbelakang agama apabila menyertai Umno akan hilang serinya dan akan tenggelam dibawa arus.


Harakahdaily

No comments: