KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kenaikan gaji kepada ahli Dewan Negeri Selangor tetap akan dilaksanakan namun ianya boleh dibincang semula jika ada keperluan.
Katanya, tiada penangguhan akan dilakukan terhadap keputusan yang telah diluluskan di Dewan Negeri Selangor pada Rabu lalu itu sebaliknya akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2014 ini.
“Insya-Allah (kenaikan) ini akan diteruskan kerana perkara ini sudah dibincangkan dan diluluskan di dewan tetapi boleh dibincang semula kalau perlu,” katanya dipetik Selangorkini sebagai berkata.
Biarpun tidak jelas apa yang dimaksudkan dengan ruang perbincangan semula itu, namun banyak pihak melihat ianya merujuk kepada kadar kenaikan yang dikritik banyak pihak kerana didakwa terlalu tinggi dan mendadak.
Untuk rekod, keputusan untuk melaksanakan kenaikan gaji Adun Selangor itu mendapat persetujuan semua anggota Dewan Negeri sama ada dari Pakatan Rakyat (PR) dan juga Barisan Nasional (BN) ketika dibentangkan Rabu lalu.
Bagaimanapun kadar kenaikan sehingga 300 peratus itu mendapat kritikan banyak pihak yang mendesak ianya dikaji semula sebelum dilaksanakan.
Sementara itu, mesyuarat Pakatan Rakyat (PR) Selangor pada 4 Disember ini dijangka akan membincangkan perkara ini.
Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan