27 December 2013

Selepas mungkir janji, BN takut “digulingkan”

23 Safar 1435H. [MOD] -

Rakyat Malaysia menanti tahun 2014 dengan kebimbangan kenaikan kos sara hidup. - Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 27 Disember, 2013.Rakyat Malaysia menanti tahun 2014 dengan kebimbangan kenaikan kos sara hidup. - Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 27 Disember, 2013.Tahun 2014 sudah pastinya bukan berita gembira bagi majoriti rakyat Malaysia berpendapatan rendah kerana kenaikan kos sara hidup yang bakal mereka hadapi.
Semasa berkempen menjelang Pilihan Raya 2013 lalu, Barisan Nasional melalui “Manifesto: Menepati Janji, Membawa Harapan” memberikan pelbagai janji indah seperti mengurangkan kos sara hidup.

Di antaranya adalah penurunan harga kereta secara berperingkat, menyediakan sejuta rumah mampu milik, pendidikan lebih baik, pembangunan luar bandar secara agresif dan keselamatan awam.
Akan tetapi selepas pilihan raya 5 Mei, apa yang rakyat dapat?
Bermula September lalu, subsidi minyak dan gula dipotong, menyebabkan kenaikan harga kedua-dua bahan berkenaan.
Perlu diingat, kenaikan harga minyak dan gula mempunyai kesan berantai kepada barangan lain. Dalam erti kata lain, janji kerajaan harga barang lain tidak akan naik selepas subsidi minyak dan gula dipotong tidak boleh digunapakai.
Tidak cukup dengan itu kerajaan mengumumkan tarif elektrik dinaikkan sebanyak 15% dan cadangan kenaikan harga tol juga pada 2014.
Dalam Bajet 2014 yang diumumkan pada Oktober, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula pada kadar 6% yang akan berkuatkuasa pada April 2015.
Ertinya, selepas tamat 2014 juga, kehadiran 2015 belum tentu memberikan kebahagian kepada majoriti rakyat Malaysia dengan pengenalan GST.
Tindakan “ganas” pentadbiran Najib dalam memotong subsidi dan menaikkan harga barang dan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas turut membimbangkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar).
“Kita faham kerajaan memerlukan lebih wang tetapi itu tidak bermakna peningkatan seperti yang diumumkan.
“Adalah lebih baik mengurangkan kos, mengekalkan atau mengurangkan harga. Perkara sama boleh dilakukan kerajaan,” katanya dalam tulisan di blog Che Det semalam.
Menurut Dr Mahathir, banyak dapat dijimatkan jika kerajaan serius bertindak terhadap Laporan Ketua Audit Negara 2012 mengenai ketirisan  dan pembaziran kerajaan.
“Kerajaan biasanya melakukan pembaziran kerana tidak memikirkan pulangan dalam apa juga bentuk perbelanjaan. Jika kerajaan berhasrat mengurangkan kos urus tadbir, mereka boleh melakukannya,” katanya.
Dr Mahathir menulis menggunakan hujah yang sering dipakai pemimpin pembangkang.
Sebagai orang yang sudah memerintah Malaysia selama 22 tahun dan mengikuti perkembangan sejarah negara-negara jiran seperti Indonesia dan Filipina, Dr Mahathir sudah tentunya bimbang dengan tindakan pentadbiran Najib.
Dr Mahathir menyaksikan bagaimana rakan-rakan baiknya seperti Ferdinand Marcos dari Filipina dan Jeneral Muhammad Soeharto dari Indonesia digulingkan melalui demonstrasi jalanan selepas gagal mensejahterakan hidup rakyat.
Sudah pasti hujah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hassan Malek mengatakan kenaikan kos sara hidup merupakan masalah kecil tidak dibeli bekas perdana menteri itu.
Maka tidak hairanlah Putrajaya juga dilihat begitu takut sekali dengan perhimpunan pada malam ambang Tahun Baru 2014 yang dikatakan berniat untuk menggulingkan kerajaan.
Semalam polis menahan pemilik akaun Facebook yang beroperasi dengan nama Asmaelz Hadzeny II yang diburu sejak minggu lepas kerana menghasut orang ramai menyertai perhimpunan dikatakan untuk menggulingkan kerajaan pada 31 Disember ini.
Sebelum itu polis menahan pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) Azan Safar selepas seorang pengguna Facebook memberikan komen mengatakan akan berlaku rusuhan pada malam ambang Tahun Baru.
Selepas memungkiri janji, Putrajaya kelihatan begitu takut sekali dengan kemarahan orang ramai di atas tindakan mereka itu.
Yang hairannya, yang ditahan adalah orang yang marah kerana janji dimungkiri dan bukan yang memungkiri janji.
themalaysianinsider.com

No comments: