14 Disember 2013

Lima kematian akibat denggi minggu lepas

10 Safar 1435H. [MOD] -
Tiga kematian akibat denggi dilaporkan di Sabah dan dua di Selangor minggu lepas menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 79 orang tahun ini.

    
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata kematian itu melibatkan tiga wanita dan dua lelaki berusia antara 16 dan 61 tahun dalam tempoh 1 hingga 7 Dis lepas.

    
"Empat kes melibatkan pelajar sekolah/kolej dan semuanya mendapatkan rawatan setelah mengalami tanda-tanda demam denggi. Ada antara pesakit yang mempunyai sejarah penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis.
    
"Kesemua kediaman kes bukan kawasan berwabak tinggi, namun pemeriksaan pembiakan nyamuk Aedes mendapati kadar pembiakan di kawasan kediaman berada pada tahap 1.1 peratus sehingga 8.3 peratus, melebihi kadar sensitif iaitu 1 peratus. 
    
"Hasil pemeriksaan Pejabat Kesihatan telah menjumpai pembiakan Aedes di sekitar kawasan tempat tinggal pesakit seperti dalam bekas plastik, tayar, baldi dan bekas polistrin," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
    
Dr Lokman Hakim berkata jumlah kumulatif kematian tahun ini sehingga minggu lepas bertambah jika dibandingkan dengan 34 kematian seluruh negara untuk tempoh masa sama tahun lepas.
    
Selain itu, katanya sebanyak 1,677 kes demam denggi dilaporkan minggu lepas dengan lapan negeri menunjukkan peningkatan.
    
Wilayah Persekutuan Labuan mencatat peningkatan sebanyak 100 peratus dengan tiga kes, Sabah 76.9 peratus (10 kes), Perlis 75 peratus (tiga kes), Kedah 61.5 peratus (lapan kes), Terengganu 26.3 peratus (lima kes), Sarawak 11.5 peratus (tiga kes), Selangor 8.9 peratus (88 kes) dan Johor 0.6 peratus (satu kes). 
    
"Jumlah kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan dari 1 Jan hingga 7 Disember 2013 ialah sebanyak 37,698 kes berbanding hanya 20,387 kes yang dilaporkan bagi tempoh sama tahun lepas, yang meningkat 84.9 peratus atau 17,311 kes," katanya. 
    
Beliau berkata sebanyak 14,092 premis telah diperiksa dalam Operasi Gempur Aedes siri ke-5/2013 di seluruh negara pada 12 Nov lepas dan daripada jumlah itu, sebanyak 111 premis yang mempunyai pembiakan Aedes dikenakan kompaun bernilai RM55,500.

Dr Lokman Hakim berkata kadar pembiakan Aedes adalah sebanyak 18 peratus berbanding minggu sebelumnya, menunjukkan masih banyak kawasan tidak bersih. 

"Semua pihak perlu mempertingkatkan aktiviti pengurangan punca pembiakan dan membersihkan kediaman atau premis masing-masing.
    
"Bagi negeri yang dilanda banjir, mereka perlu mengadakan aktiviti pembersihan kawasan dan mengurangkan tempat pembiakan Aedes dalam tempoh seminggu selepas air surut," katanya. 
    
Beliau berkata aktiviti pencegahan demam denggi sama ada oleh pihak kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan dan individu adalah penting dalam membantu mengawal penularan kes demam denggi. 
    
Bernama

Tiada ulasan: