02 Januari 2014

BN terus hilang undi bandar dengan batal rebat tol.

30 Safar 1435H. [MOD] -

Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus kehilangan sokongan di Kuala Lumpur dan Selangor ekoran pemberhentian rebat tol 20% di kalangan penggunanya ketika hampir kesemua rakyat terpaksa berjimat kerana kenaikan kos sara hidup, kata Ahli Parlimen pembangkang.
BN hilang majoriti kerusi di Kuala Lumpur dan Selangor dalam dua pilihan raya lalu, di samping hilang undi popular dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
PRU14 dijangka akan diadakan pada tahun 2018 dan BN dijangka akan terus bergantung kepada undi luar bandar untuk mengekalkan kuasa.

Ahli Parlimen PKR dari Pandan, Rafizi Ramli (gambar) berkata, keputusan kerajaan menghentikan rebat tol ialah satu lagi tindakan pentadbiran Najib yang membuktikan mereka sudah hilang sentuhan dengan rakyat.
"BN boleh buang terus peluang untuk mendapatkan undi bandar sehingga 10 tahun akan datang.
"Walaupun mereka boleh menggunakan pemberian segera untuk mendapatkan undi luar bandar, dengan bebanan yang ada mereka boleh lupakan pengundi bandar kerana kegelisahan sudah merata tanpa mengira bangsa dan agama," kata Rafizi kepada The Malaysian Insider.
Katanya, menghentikan rebat tol sangat dikesali kerana orang ramai tidak akan terima apapun alasan Putrajaya kerana ia dianggap menambahkan kesusahan mereka.
"Rebat tol walaupun kecil masih menyumbang kepada meringankan bebanan pengguna khasnya yang tinggal di Lembah Klang,"kata Rafizi.
Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, kebanyakan pengguna dapat memotong sehingga RM30 ke RM40 sebulan melalui rebat ini.
"Bagi penduduk Lembah Klang, ini adalah tanda BN membiar mereka dan nampaknya BN tidak berminat untuk mendapatkan undi mereka semula," katanya.
Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara Tony Pua pula berkata rebat tol bukan kekal dan bukan penyelesaian kepada kadar tol yang mahal.
Ia hanya satu polisi untuk mengawal sentimen anti kerajaan menjelang PRU13.
"Adalah mengejutkan bila rebat ditarik balik dan kadar tol dinaikkan berdasarkan perjanjian berat sebelah konsesi tol," katanya.
Bagi Pengerusi DAP Selangor itu, jalan untuk menyelesai masalah yang tidak kesudahan akibat perjanjian berat sebelah ini adalah dengan cara kerajaan membeli balik kesemua lebuh raya ini.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan jelas tidak berminat dan hasilnya pemegang konsesi terus kaya-raya dan rakyat menjadi mangsa.
Ahli Parlimen PAS Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata penarikan rebat tol ini akan menyusahkan pengguna kerana ia akan menyumbang kepada kenaikan harga barangan keperluan pengguna kerana kos pengangkutan akan bertambah.
"Ia kesusahan berganda untuk pengguna, rebat tol dan subsidi dipotong ketika harga barangan dan perkhidmatan meningkat," katanya.
Katanya, mungkin gunakan jalan tanpa tol dan akan menyebabkan jalan itu sesak tetapi di sesetengah kawasan tidak ada jalan alternatif.
Kata Dr Mariah, pendekatan ini membuktikan kerajaan sangat terdesak untuk mendapatkan wang bagi mengisi defisit dalam fiskalnya dan ia dibebankan orang ramai.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika meraikan 100 hari sebagai perdana menteri pada April 2009, telah memperkenalkan rebat tol melalui kad Touch 'n Go sebagai hadiah kepada pengguna jalan raya.
Untuk melayakkan rebat itu, pengguna perlu menggunakan kad itu minima 80 kali untuk membayar tol sebulan.
Rebat diberikan kepada pemilik kad itu iaitu dengan pengiraan 20% daripada jumlah penggunaan. Pengguna boleh mendapatkan rebat itu di mana-mana kaunter jualan Touch 'n Go.
Sumber memaklumkan, rebat adalah hak Putrajaya yang diberikan dalam bentuk “hadiah” dan boleh ditarik bila-bila masa.
Dan kini ia ditarik serentak dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan mulai tahun ini termasuk kenaikan kadar tol.
Bagaimanapun, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof dalam kenyataannya semalam berkata, walaupun berdasarkan perjanjian konsesi akan ada kenaikan tol tahun ini, kerajaan masih belum mengeluarkan arahan mengenainya kepada syarikat konsesi yang terlibat.
"Sebaliknya kerajaan masih lagi mempertimbangkan langkah-langkah terbaik untuk mengurangkan kesan kenaikan kadar tol kepada rakyat dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak, termasuk mengadakan makmal yang dikendalikan oleh Pemandu untuk mengkaji implikasi kenaikan kadar tol tahun 2014," kata Fadillah dalam kenyataannya. TMI/-

Tiada ulasan: