09 January 2014

Lelaki menyamar polis mati

7 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
Kuala Lumpur: Lelaki menyamar anggota polis yang cedera parah dalam pergelutan ketika cuba menyamun dua pelajar Nigeria di Taman Pusat Kepong di sini, malam kelmarin, meninggal dunia awal pagi semalam. 

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, suspek, 52, bersama dua rakannya berusia 42 dan 53 dikatakan menjalankan pemeriksaan di rumah sewa pelajar terbabit, sebelum memeras ugut mereka. 


Bagaimanapun, tindakan ketiga-tiga suspek memakan diri selepas seorang daripada pelajar terbabit menghubungi rakan mereka yang tinggal di kawasan berhampiran untuk membantu. 


Suspek meninggal dunia 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairy Ahrasa, berkata suspek meninggal dunia kira-kira jam 5 pagi semalam ketika dirawat di Hospital Selayang selepas parah akibat bergelut dengan enam pelajar Nigeria yang datang ke tempat kejadian untuk membantu rakan mereka. 

Katanya, dua lagi suspek masih lagi dirawat di hospital sama akibat kecederaan yang dialami ketika bergelut dengan mangsa. Seorang pelajar warga Nigeria turut menerima sembilan jahitan di kepala. 

Kes ini diklasifikasikan sebagai bunuh berikutan kematian suspek akibat pergelutan dengan mangsa. Kami akan menahan pelajar warga Nigeria terbabit untuk membantu siasatan, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur (IPKKL) di sini, semalam. 
Tiada kekerasan 

Beliau berkata, undang-undang membenarkan orang awam untuk membuat tangkapan, namun mereka tidak boleh mengambil tindakan kekerasan berlebihan terhadap suspek. 

Oleh itu Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kami mengesan tindakan kekerasan secara berlebihan dilakukan kumpulan pelajar terbabit hingga menyebabkan kematian, katanya. 

Berita harian

No comments: