09 Januari 2014

Ulama Mesir larang keluar mengundi

7 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
Doha: Ulama Sunnah terkenal, Sheikh Yusuf al-Qaradawi, semalam mengeluarkan fatwa melarang rakyat Mesir keluar mengundi di dalam pungutan suara yang akan diadakan minggu depan oleh kerajaan sementara negara itu yang disokong tentera. 


Pergerakan Ikhwanul Muslimin yang menyokong Presiden Mohamed Morsi sudah menggesa pemulauan proses pengundian perlembagaan baru, pada 14 dan 15 Januari ini yang dirangka pihak berkuasa sementara sejak penyingkiran beliau Julai lalu. 


Namun Qaradawi, yang mempunyai pengaruh besar menerusi penampilannya di televisyen al-Jazeera dari Qatar, berkata pembabitan di dalam proses pengundian itu melanggar undang-undang Islam kerana ia bermakna bersubahat dengan dosa. 


Gesa kembalikan Morsi 

Penyertaan di dalam pungutan suara Perlembagaan dan sumbangan dalam apa cara untuk mengukuhkan pihak yang merampas kuasa, atau mengesahkan kedudukannya atau memanjangkan dan mengukuhkan kehadirannya adalah bersubahat melakukan dosa dan tindakan yang dilarang dalam agama, katanya dalam fatwa yang dikeluarkan kelmarin. 

Qaradawi, yang berada dalam buangan di Qatar sejak kerakyatannya dilucutkan beberapa dekad lalu, sudah pun mengeluarkan fatwa menggesa rakyat Mesir mengembalikan Morsi ke jawatannya yang sah. 

Beliau sempat kembali ke negaranya pada Februari 2011, beberapa hari selepas kejatuhan bekas Presiden Hosni Mubarak dan menyampaikan khutbah di Dataran Tahrir di Kaherah yang menjadi pusat kebangkitan rakyat. 

Morsi beri keterangan baru 

Fatwa itu dikeluarkan ketika Morsi kembali hadir di mahkamah di Kaherah semalam untuk sesi keterangan baru perbicaraan atas dakwaan menghasut pembunuhan aktivis pembangkang dalam pertempuran di luar istana presiden pada Disember 2012. 

Ulama itu sendiri dikehendaki oleh pihak berkuasa sementara Mesir dan berdepan perbicaraan tanpa hadir. 

Qatar mengekalkan hubungan rapat dengan Mesir ketika pemerintahan Morsi dan hubungan itu meruncing selepas penyingkirannya. 

Negara kaya minyak itu memberikan perlindungan kepada ramai pemimpin Ikhwanul Muslimin yang melarikan diri daripada tindakan berdarah pihak berkuasa berikutan penyingkiran Morsi dan melihat beratus daripada mereka ditahan. 

Mesir menggesa Qatar menghormati perjanjian menangani keganasan Arab 1998 dan menyerahkan Qaradawi dan pejuang Islam dikehendaki lain. 

AFP 

Tiada ulasan: