25 Januari 2014

Pakatan Rakyat mampu selesai kenaikan kos sara hidup

23 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: “Jika Pakatan Rakyat (PR) diberi mandat insya Allah kenaikan kos hidup tidak akan berlaku,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad. 


Ini, katanya kerana penyelesaian yang dicadangkan ialah untuk menghapuskan tol, menurunkan harga petrol, mengawal harga elektrik, melawan rasuah, melawan ketirisan dan mewujudkan tender tebuka. 

“Inilah perkara asas untuk menyekat kesan berantai, sehingga kos meningkat yang berakhir dengan bebanan kepada pengguna,” katanya kepada Harakahdaily.
Katanya, cadangan pintar ini tidak menjadi kenyataan apabila gagal mendapat mandat untuk memerintah kerajaan Pusat. 

Tambahnya, terdapat juga tuduhan nakal pemimpin BN dan penyokong mereka yang mengatakan kenapa Pakatan Rakyat tidak menurunkan harga di negeri yang mereka perintah. 

“Inilah juga hujah yang diwar-warkan kepada rakyat yang tidak memahami struktur pemerintahan sebuah negera, antara bidang kuasa kerajaan negeri dan kerajaan Pusat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang. 

Beliau berkara, negeri PR boleh menurunkan harga kos jika cukai kastam di pelabuhan diberi kepada negeri. 

Jelasnya, ini termasuk duti stem, saman polis, saman JPJ, bayaran pasport antarabangsa, cukai lapangan terbang diberi kepada negeri Pakatan Rakyat. 

Tetapi, ujarnya semua hasil itu diambil oleh kerajaan pusat sementara kerajaan negeri hanya mendapat hasil daripada cukai pintu, cukai tanah, air dan hasil hutan.

Sekarang, kata beliau pemimpin BN panik, menghadapi kemarahan rakyat. 

Justeru, katanya jawapan mereka seolah-olah bukan lagi seorang negarawan, tetapi layak menjadi pemimpin Umno cawangan sahaja. 

“Jawapan yang menyakit hati rakyat bukan hendak mengubat hati rakyat, seperti kata ‘kangkung murah, kenapa tidak puji kerajaan’, ‘lalu jalan biasa jika tidak mahu bayar tol’, ‘tambang bas sekolah mahal kerana ibu bapa sanggup membayar’, ‘jangan makan ayam jika ayam mahal’, pembeli kena boikot membeli jika harga mahal. 

“Penjual dengan mudah menjawab, semuanya berpunca daripada kenaikan harga minyak, tol, elektrik. Mereka tidak berupaya untuk mengatasi melainkan kos ini dibebankan kepada rakyat,” katanya.


Harakahdaily

Tiada ulasan: