25 Januari 2014

Polis Perlis Rampas Raifal, Peluru Di Sempadan

23 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
KANGAR: Polis Perlis merampas sepucuk raifal buatan Republik Czech bersama dua butir peluru hidup di kawasan sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Pos Kawalan Simpang 5, Kaki Bukit dekat sini, pada 21 Jan lepas.


Ketua Polis Perlis Datuk Zull Aznam Haron berkata dalam kejadian pada kira-kira pukul 9 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Batalion Ketiga Pasukan Gerak Am (PGA) Bidor, Perak yang sedang meronda di kawasan sempadan, terserempak dengan dua lelaki berbaju hitam.

"Apabila menyedari kehadiran pasukan PGA, kedua-dua lelaki tersebut terus melarikan diri ke dalam hutan berbukit sempadan Malaysia-Thailand. Anggota PGA cuba mengejar, tetapi gagal menangkap mereka," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini Sabtu.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan, polis menemui sepucuk raifal jenis CZ 452-2E ZKM (No.Siri 790618) bersama teropong yang dilekatkan pada raifal berkenaan iaitu dari jenis 'BSA Dear Hunter 3-9X32E' yang ditinggalkan kedua-dua lelaki berkenaan.
Turut dirampas dua beg galas hijau yang mengandungi dua buaian tidur warna hitam celoreng hijau, katanya.
Zull Aznam berkata, siasatan mendapati kedua-dua lelaki itu dipercayai pemburu haram warga Thailand yang memburu binatang di kawasan hutan Malaysia.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 serta Seksyen 8(a)Akta Senjata 1960.
Sementara itu, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Padang Besar merampas sebanyak 1,200 tin minuman keras pelbagai jenama dari sebuah kereta Proton Wira di Kampung Kolam, Padang Besar, 23 Jan lepas.
Menurut Zull Aznam, dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu, pemandu kereta berkenaan berjaya melarikan diri dan meninggalkan kereta bersama minuman keras berkenaan.
Hasil pemeriksaan mendapati kereta berkenaan menggunakan nombor plat palsu yang dilaporkan dicuri di Kepala Batas, Kedah sementara minuman keras itu barangan yang mengelak cukai di bawah Seksyen 135/1/B Akta Kastam 1967. 

BERNAMA

Tiada ulasan: